Sarri Akui Rindu EPL, Dedah Konflik Di Bilik Persalinan Chelsea

Maurizio Sarri adalah pengendali Chelsea pada musim 2018/19 namun memilih untuk menyertai Juventus hanya selepas semusim.

Tempoh Sarri bersama The Blues berakhir dengan kejuaraan Europa League selepas menewaskan Arsenal di perlawanan akhir.

Pemergian Sarri ke Juventus mendapat pelbagai reaksi dari penyokong Chelsea, dan terdapat tanggapan bekas jurulatih Napoli itu gagal menawan hari penyokong dan juga pemain.

Salah satu insiden yang menyokong fakta tersebut adalah ketika penjaga gol Kepa Arrizabalaga enggan dikeluarkan ketika perlawanan akhir Piala Liga menentang Manchester City.

Arrizabalaga juga hanya direhatkan sebanyak satu perlawanan akibat perbuatannya itu.

Ketika berkongsi kisah beliau di Chelsea kepada media Juventus, Sarri berkata: “Semakin tinggi tahap saingan, semakin sukar untuk membina hubungan dengan barisan pemain.

“Ia bukan pemain yang berubah, tetapi persekitaran. Anda memerlukan lebih banyak masa, tetapi anda masih perlu mengurus.

“Saya mempunyai konflik hubungan dengan Chelsea di bilik persalinan untuk lima hingga enam bulan pertama, dan selepas saya pergi setelah perlawanan akhir Europa League, saya menangis dan ramai di kalangan mereka [pemain] juga demikian.

Sarri juga mengakui sukakan tempoh beliau di England, walaupun berpendapat negara tersebut bukan untuk dirinya.

“Anda akan perasan orang yang lebih muda akan mendapat lebih banyak peluang di Engaland, bukan sahaja dalam bola sepak,” tambah beliau lagi.

“Dengan berkata demikian, saya tidak akan menetap di sana. Saya tidak faham bagaimana orang Itali boleh tinggal di sana!

“Kalau hal bola sepak, ia kisah berbeza. Saya rindukan Premier League. Ia mempunyai tahap teknikal dan atmosfera luar biasa.

“Saya tidak pernah mendengar nyanyian mengutuk sesiapa di dalam stadium dan semua penyokong boleh bersama-sama ketika di luar.

“Penyokong lawan pun sempat bertanya untuk bergambar bersama dan stadium juga sentiasa penuh tanpa mengira apa jenis pertandingan.

“Ia amat luar biasa.”

 

Kongsi artikel ini