Sapian Wahid: Legenda Piala Malaysia Untuk Terengganu

Tidak keterlaluan untuk kita katakan: Jika anda berkata anda adalah seorang penyokong tegar Terengganu tetapi anda tidak pernah mendengar nama Sapian Wahid, anda bukanlah penyokong tegar skuad Penyu yang sebenarnya.

Apabila nama ini disebut, pastinya semua penyokong Terengganu akan teringat kepada detik-detik pasukan tersebut menjulang trofi kejuaraan Piala Malaysia 2001.

Sapian menjaringkan gol kemenangan buat Sang Penyu yang juga merupakan satu-satunya trofi Piala Malaysia yang dikecapi Terengganu sehingga ke hari ini.

Sapian merupakan seorang pemain kelahiran Melaka, memulakan kariernya pada musim 1996 bersama pasukan Sarawak.

Buat pengamal bola sepak yang lebih senior, tentunya mereka turut mengetahui Sapian juga mempunyai seorang abang yang juga beraksi dalam kancah bola sepak Malaysia, Mazlan Wahid yang bermain sebagai penjaga gol.

Kedua-dua mereka bersama Sarawak – Mazlan pada 1992 sehingga 2001 manakala Sapian pada musim 1996.

Sapian seterusnya berhijrah ke Terengganu dan berkhidmat di sana selama lima musim. Antara kejayaan yang dikecapi termasuklah membawa Terengganu ke final Piala Malaysia 1998, juara Piala FA 2000 dan yang paling diingati, Piala Malaysia 2001.

Sapian (kiri) mengucup trofi Piala Malaysia 2001 (Foto: Kelab Penyokong Terengganu Peteh)

Sapian bagaimanapun tidak beraksi dalam final Piala Malaysia 1998 yang menyaksikan Terengganu tewas kepada Perak akibat kecederaan leher, dan mungkin kerana itulah juga yang membakar semangatnya untuk memastikan dalam edisi final Piala Malaysia 2001.

Terengganu sekali lagi bertemu Perak, di venue yang sama iaitu Stadium Nasional, Bukit Jalil. Kali ini misi Sapian ialah untuk memastikan Sang Penyu tidak menangis lagi. Malah beliau sendiri turut menjaringkan gol kemenangan pasukan pada malam bersejarah tersebut.

Sapian (bawah, kanan sekali) ketika membawa Terengganu menjulang trofi Piala FA 2000 (Foto: Bola Sepak Terengganu)

Sapian seterusnya kembali ke Sarawak pada musim 2003 dan 2004, sekali lagi bersama Terengganu pada 2005, sebelum mengumumkan persaraan dari bola sepak ketika mewakili negeri kelahirannya, Melaka pada 2008.

Sapian juga pernah beraksi bersama skuad kebangsaan sebanyak dua kali.

Sapian ketika bergelar jurulatih Melaka B21 (Foto: Melaka United Soccer Association)

Hari ini Sapian pulang ke Kuala Terengganu sekali lagi. Namun kali ini beliau memainkan peranan sebagai pembantu ketua jurulatih pasukan Terengganu II.

Tugas beliau kali ini adalah untuk memastikan pemain-pemain muda kelahiran negeri tersebut bersedia untuk menjadi backup kepada skuad utama, lebih-lebih lagi pemain ‘ubi’ Terengganu sentiasa beraksi cemerlang dalam peringkat lebih rendah iaitu Piala Presiden dan Piala Belia.

Dengan pengalamannya yang pernah menjadi jurulatih skuad Bawah-21 Melaka sebelum ini, dan kembali bekerja bersama rakan-rakan sepasukannya ketika menjuarai Piala Malaysia 2001 seperti Nafuzi Zain dan Subri Sulong, diharapkan pemain-pemain Terengganu dan Terengganu II selepas ini dapat mengulangi semula zaman kegemilangan yang pernah dicipta oleh jurulatih-jurulatih ini.

Sumber:

Mazlan, Sapian dan Sazali bersaudara: Dari Melaka ke Sarawak


https://www.national-football-teams.com/player/30688/Sapian_Abdul_Wahid.html
http://chedinsphere.blogspot.com/2014/05/terengganu-fa-juara-piala-malaysia-2001.html

Kongsi artikel ini