Sanggupkah Aidil Zafuan Bersara Sekali Lagi Dari Skuad Kebangsaan Beri Peluang Kepada Pertahanan Muda

Prestasi Aidil Zafuan dikritik oleh penyokong bolasepak tempatan selepas dikatakan menjadi punca kepada dua gol Singapura yang dijaringkan oleh penyerang prolifik , Ikhsan Fandi dan Malaysia terpaksa akur dengan tewas 2-1 kepada skuad The Lions di Stadium National Singapura pada malam tadi.

Pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim yang akan genap umur 35 tahun pada Ogos ini telah disenaraikan oleh Kim Pan-gon dalam kesebelasan utama ketika menentang Singapura serta turut memakai lilitan kapten dalam perlawanan berkenaan dan ini menjadikan beliau sebagai pemegang rekod 98 dalam penampilan antarabangsa bersama skuad kebangsaan.

Kim Pan-gon turut melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Safawi Rasid bagi menggantikan Arif Aiman yang cemerlang dalam perlawanan bertemu Filipina manakala pemain yang memakai jersi JDT nombor 7 ini menggantikan pertahanan Negeri Sembilan FC , Khuzaimi Piee telah melaksanakan tugasan dengan baik sekali ketika bergandingan dengan Shahrul Saad.

Kemungkinan jurulatih baharu mahu melihat sendiri dan seterusnya membuat penilaian di antara Aidil Zafuan dan Shahrul Saad yang sentiasa bergandingan sebagai duo bek ketika di bawah kendalian bekas jurulatih , Tan Cheng Hoe sebelum beliau membuat keputusan pertahanan yang mana akan mendapat kepercayaan beliau khususnya dalam menghadapi kelayakan ke Kejohanan Piala Asia China 2023 yang berlangsung pada Jun ini.

Skuad Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jun ini. - Foto ihsan Facebook FAM.

Pencapaian bek tengah yang telah memasuki tahun ke-9 menyertai Johor Darul Ta’zim di bawah Tunku Mahkota Johor sejak 2013 tidak boleh disangkal lagi. Beliau mempunyai pencapaian luar biasa dengan mengumpul pelbagai trofi kejohanan khususnya di JDT.

Aidil Zafuan Abdul Radzak juga memenangi anugerah pemain pertahanan empat kali  iaitu pada tahun 2009, 2010 ,  2012 dan 2020.

Dalam kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 Edisi ke 14 Disember lalu , nasib Malaysia terumbang-ambing selepas Aidil Zafuan terpaksa dikeluarkan kerana hamstring ketika dalam perlawanan berintensi tinggi bertemu Vietnam dan ketiadaan beliau menyebabkan skuad Tan Cheng Hoe tewas 3-0 di peringkat kumpulan.

Pemegang rekod cap antarabangsa yang ke-98 ini juga turut terlepas perlawanan terakhir ketika bertemu dengan Indonesia di mana Harimau Malaya diaibkan oleh skuad Garuda Muda 0-4 sekaligus tersingkir dari peringkat kumpulan untuk mara ke separuh akhir.

Dalam perlawanan malam tadi dua gol yang dijaringkan oleh penyerang sensasi Singapura , Ikhsan Fandi dikatakan berpunca daripada kegagalan Aidil Zafuan untuk mengawal situasi pemain itu memasuki final third membuat percubaan ke arah pintu gol daripada dibolosi.

Dan pemain itu terus dinasihati oleh penyokong tempatan yang menganggap bahawa zaman kemuncak prestasinya sudah pun berakhir dan berikanlah laluan kepada pertahanan muda yang lebih jitu dan bertenaga.

Beberapa nama pertahanan muda yang amat berbakat dan mampu menggantikan beliau dicadangkan oleh pemerhati bolasepak dan antaranya ialah Khuzaimi Piee (Negeri Sembilan) , Dominic Tan ( Polis Tero FC) Thailand) Sharul Nazeem (Selangor FC)

 

Pada tahun 2016 , Aidil Zafuan pernah mengumumkan persaraan daripada panggilan skuad kebangsaan bersama Safiq Rahim, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal namun kembali untuk menarik semula persaraan mereka di atas faktor keyakinan terhadap kepimpinan baharu FAM yang diterajui Tunku Mahkota Johor, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim selaku Presiden FAM pada waktu itu.

 

Bagaimanapun , Kim Pan-gon sudah pasti menyediakan pelan dalam pemilihan pemain-pemain wajah baharunya dan masih ada dua bulan untuk membuat persiapan rapi bagi menghadapi kelayakan ke Piala Asia China 2023 di Stadium Bukit Jalil pada Jun ini dengan pembantu yang mempunyai pasukan analisis pemain , sudah pasti pencarian pemain era jurulatih baharu itu lebih bersifat terbuka dan semua pemain layak untuk menyertai skuad kebangsaan tidak kira muda mahupun sudah melewati usia.

Apa yang penting , minit permainan yang banyak sudah pasti menjadi tanda aras Kim Pan-gon.

 

 

Kongsi artikel ini