“Sanggup Jadi Warganegara Indonesia Pun Satu Pengorbanan Besar” – Shin Tae-yong Bersuara Isu Naturalisasi Jordi Amat

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong akhirnya bersuara untuk menjelaskan mengapa beliau meminta Persekutuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) untuk meneruskan proses naturalisasi Jordi Amat.

Jordi Amat mencipta kontroversi di Indonesia selepas calon naturalisasi skuad Garuda itu memutuskan untuk beraksi di Liga Malaysia bersama JDT dan tidak lagi kekal di Eropah.

Timbul perdebatan mengenai pilihan yang dilakukan oleh pemain itu. Pelbagai pandangan pro dan kontra dilemparkan.

Yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut berpendapat Jordi Amat hanya akan merugikan skuad kebangsaan Indonesia kerana meneruskan karier di Asia Tenggara kerana prestasinya berkemungkinan akan menurun.

Pendapat rata-rata penyokong bola sepak Indonesia itu nyata tidak sama dengan pemikiran Shin Tae-yong yang telah mengutus surat kepada PSSI meminta proses naturalisasi Jordi Amat dan dua lagi pemain, Sandy Walsh dan Shayne Pattynama diteruskan.

Berbeza dengan Jordi Amat, dua lagi pemain itu terus kekal beraksi di Eropah.

Shin Tae-yong akhirnya bersuara

Mungkin enggan polemik Jordi Amat terus berterusan menjadi perbualan penyokong bola sepak Indonesia, jurulatih yang berasal dari Korea Selatan itu akhirnya bersuara dan menyatakan pendiriannya mengenai perkara tersebut.

Selain daripada mengutus surat kepada PSSI sebelum ini, Tae-yong enggan mengulas lanjut isu ini ketika ditanya wartawan kerana hanya mahu fokus kepada kejohanan Piala AFF B-19 yang sedang berlangsung ketika ini.

“Dari segi [pilihan] pemain, saya ingin proses naturalisasi Jordi Amat tetap dilanjutkan.

“Alasan saya kerana kami sudah melihat dan Jordi Amat sudah membuktikan penampilannya,” kata Shin Tae-yong kepada BolaSport.com.

Selain itu Shin Tae-yong meminta penyokong bola sepak Indonesia memahami keputusan yang dilakukan Jordi Amat.

Sanggup jadi rakyat Indonesia pun sudah satu pengorbanan

Bagi Shin Tae-yong tanggapan Jordi Amat cuba mengambil kesempatan dengan meraih kewarganegaraan Indonesia adalah perkara yang tidak sepatutnya ada.

Ada juga yang bertanggapan Jordi Amat tertarik dengan gaji besar yang ditawarkan JDT jika beliau menjadi pemain berstatus import Asia Tenggara, sehingga sanggup menolak tawaran untuk beraksi di Greece dan Turki.

Tetapi menurut Shin Tae-yong keputusan Jordi Amat untuk mengganti status warganegara dari Sepanyol ke Indonesia juga adalah satu pengorbanan yang amat besar.

Oleh kerana itu, Shin Tae-yong meminta penyokong bola sepak Indonesia harus boleh memahami situasi tersebut.

Sebelum menyertai JDT, bek tengah berusia 3o tahun itu sememangnya kaya dengan pengalaman beraksi di Eropah.

Antara kelab yang pernah disertainya adalah seperti Espanyol, Swansea City, Real Betis, dan terakhir KAS Eupen.

“Jordi Amat sudah mengorbankan dirinya untuk semata-mata untuk timnas Indonesia.

“Bagaimana gara-gara Jordi Amat memilih bermain di Malaysia, ada penilaian [negatif] seperti itu.?

“Bagi saya, itu sangat tidak baik,” tambah Shin Tae-yong.

Kongsi artikel ini