Perubahan dalam pengurusan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) adalah sebab utama mengapa program tersebut gagal menghasilkan pemain seperti yang diharapkan.
Kenyataan tersebut dinyatakan oleh bekas Menteri Belia & Sukan, Khairy Jamaluddin melalui satu ciapan di Twitter ketika memberikan penjelasan kepada seorang pengguna media sosial itu berkenaan kegagalan negara menghasilkan pemain berkualiti.
Lebih menyedihkan, pemain generasi pertama NFDP sukar bersaing dengan pemain di saingan utama Liga Malaysia, dan beraksi bersama feeder club.
Pengguna @asdmarch sebagai respon kepada sebuah artikel daripada News Strait Times (NSTP) berkata: “Pelatih daripada NFDP sepatutnya didedahkan ke luar negara sebelum graduasi. Tiada visi, tiada perancangan, dan terlalu mengikut nasihat yang tidak betul.”
#NFDP boys should have been sent abroad for short-term stints upon graduation. No vision, poor planning and ill-advised.https://t.co/CUgFTWOfJ3
— Ajay (@asdmarch) June 25, 2020
Laporan dari NSTP bertarikh 14 Mei 2020 itu menyentuh mengenai pengambilan pemain naturalisasi yang menjadi pilihan dalam membentuk pasukan kebangsaan, dan bagaimana NFDP gagal memberikan impak yang diharapkan kepada kualiti pasukan kebangsaan setakat ini.
Khairy Jamaluddin adalah Menteri Sukan yang bertanggungjawab ketika NFDP baru dibentuk dan dilancarkan dari mulanya.
Menjelaskan perkara tersebut, Khairy berkata: “Apabila kami memulakan NFDP, sememangnya ada perancangan untuk menempatkan pemain bersama kelab dan akademi di luar negara.
“Malangnya untuk generasi pertama, pengurusan NFDP telah berubah dan inilah yang berlaku [pada hari ini].
“Ia [kegagalan] bukan disebabkan oleh gagal merancang atau kerana tidak ada visi. Cuma perubahan tampuk pengurusan yang melaksanakan program dari segi operasi sehingga ke tahap tertinggi.”
Untuk rekod program yang bermula pada 2014 ini hanya berjaya menghasilkan seorang pemain setakat ini untuk ke Eropah.
Luqman Hakim Shamsuddin berjaya memikat KV Kortrijk dan berdasarkan perancangan asal, pemain tersebut dijadualkan akan ke Belgium dalam masa terdekat, melainkan perubahan mendadak di saat akhir.