Salah Terjemahan, Jurulatih Turkmenistan Akhirnya Akur Sokongan Padu ‘Ekor’ Harimau Malaya

Jika ketika sidang media sebelum perlawanan menentang Malaysia sebelum ini, Ketua Jurulatih Turkmenistan, Yazguly Hojageldyyew menafikan kehadiran ribuan penyokong Malaysia mampu mempengaruhi rentak permainan pasukannya.

Namun kini nada Yazguly Hojageldyyew agak berbeza selepas menyaksikan barisan anak buahnya tidak mempunyai jawapan kepada aksi cemerlang skuad Harimau Malaya.

Pasukan negara kendalian Kim Pan-gon beraksi dengan cemerlang pada perlawanan pertama pusingan pertama Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan apabila merekodkan kemenangan 3-1.

Muhammad Safawi Rasid, Mohamed Faisal Halim dan Corbin Ong berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan tersebut untuk memadam cabaran pasukan lawan.

Perlekeh ‘ekor’ Harimau Malaya

Sebelum ini Hojageldyyew secara terang-terangan yakin penyokong Harimau Malaya yang hadir tidak akan memberikan masalah.

Mungkin kerana tidak mahu anak buahnya tertekan kerana perlu beraksi di halaman lawan, Yazguly Hojageldyyew tidak mahu melihat kehadiran penyokong yang dijangka membanjiri SNBJ akan menganggu rentak permainan pasukan.

 

“Tiga atau dua tahun lalu sebelum pandemik kami pernah rasainya. Ia bukan masalah besar, mungkin akan ada kesilapan-kesilapan kecil dan ia tidak akan mengganggu pasukan kami,” katanya.

Yazguly Hojageldyyew bukan jurulatih pertama yang memperlekehkan peranan penyokong pasukan negara di SNBJ sebelum terpaksa mengakui aura yang dihasilkan oleh mereka dalam membantu skuad Harimau Malaya menampilkan aksi cemerlang di tempat sendiri.

Salah terjemahan

Selepas tamat perlawanan, Hojageldiyev memuji prestasi barisan pemain skuad Harimau Malaya.

Beliau turut berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya sepanjang perlawanan tersebut walaupun gagal meraih sebarang mata.

Beliau kemudian ditanya tentang aura dan kesan sokongan padu penyokong Malaysia di SNBJ dalam perlawanan tersebut.

Anehnya, Hojageldyyew tidak menjawab soalan wartawan sebaliknya menjelaskan situasi padang SNBJ.

Rupa-rupanya penterjemah beliau tersalah dengar perkataan ‘crowd’ dan ‘ground’.

“Kualiti padang memang sangat teruk, tapi itu bukan masalah, kedua-dua pasukan bermain di atas padang yang sama. Cuma kelebihan untuk Malaysia sebab sudah terbiasa bermain di padang ini,” ujar beliau.

Soalan sama mengenai penyokong diulang oleh wartawan, dan kali ini Hojageldyyew terpaksa memberikan jawapannya.

Menurut Hojageldyyew beliau turut teruja melihat sokongan padu dari para penyokong Malaysia dalam perlawanan ini.

Kongsi artikel ini