Salah Pakai Kasut Denda RM150 Antara Peraturan Ketat Skuad Harimau Malaya Rejim Kim Pan-gon

Salah pakai kasut untuk latihan akan didenda RM150. Itu adalah antara peraturan dan denda yang dikenakan oleh rejim baharu barisan kejurlatihan skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon.

Peraturan-peraturan tersebut adalah antara perkara baharu yang dibawa masuk oleh jurulatih dari Korea Selatan itu untuk mendisiplinkan barisan pemain negara.

Perkara itu didedahkan oleh pemain sayap, Faisal Halim dalam perkongsian beliau bersama Arena Metro baru-baru ini.

“Sebenarnya dalam senarai itu banyaklah, contoh kalau kita salah pakai kasut waktu pergi latihan, dia punya denda dalam RM150.

“Kalau hari perlawanan pula kita tak boleh main telefon. Itulah yang saya boleh bagi, tapi tak boleh kongsi banyak,” kata Faisal.

Kim Pan-gon sememangnya dikenali sebagai seorang jurulatih yang mementingkan disiplin sejak ketika melatih skuad kebangsaan Hong Kong sebelum ini.

Malah ia adalah sikap yang dikenali di kalangan jurulatih dari Korea Selatan seperti mana Park Hang-seo (Vietnam) dan Shin Tae-yong (Indonesia) yang mementingkan disiplin,

Setakat ini Vietnam dan Indonesia telah membuktikan usaha mereka memilih jurulatih dari Korea Selatan tidak sia-sia.

Shin Tae-yong misalnya pernah menghantar seorang pemain kembali ke Indonesia ketika kem latihan skuad Garuda di Dubai kerana ingkar arahan berkaitan masa.

Isu pemain terlalu leka dengan telefon dan media sosial turut pernah mendapat perhatian TMJ pada musim lalu.

Berdasarkan perkembangan terbaru ini, perubahan drastik yang dilaksanakan Kim Pan-gon diharap dapat membantu mengubah mentaliti pemain.

Kongsi artikel ini