Saksikan Ronaldo Tamatkan Kemarau Gol Free-Kick Selepas 43 Percubaan

Cristiano Ronaldo akhirnya berjaya menjaringkan gol dari sepakan percuma. Sebelum itu Ronaldo gagal menghasilkan gol dari sepakan percuma dalam 43 percubaan.

Ia juga memaksa Ronaldo menunggu selama hampi 2 tahun untuk jaringan dari sepakan percumanya itu.

Pemain dari Portugal itu juga muncul sebagai pemain pertama yang menjaringkan 25 gol di Serie A untuk Juventus sejak 1961.

Kemenangan dalam perlawanan derbi menentang Torino itu juga memberi makna signifikan kepada Gianluigi Buffon yang melakukan penampilan ke-648 di saingan Serie A.

Paulo Dybala terlebih dahulu menjaringkan gol untuk Juventus seawal minit ke-3 perlawanan untuk gol pembukaan.

Kemudian Ronaldo menghasilkan peluang untuk disempurnakan oleh Juan Cuadrado pada minit ke-29 perlawanan.

Andrea Belotti merapatkan jurang buat Torino sebelum saingan babak pertama berakhir.

Gol hasil sepakan percuma Cristiano Ronaldo pula tiba pada minit ke-61 perlawanan, sebelum gol sendiri Kofi Djidji melengkakan kemenangan 4-1 Juventus.

Ronaldo kini telah menjaringkan 46 gol hasil dari sepakan percuma di peringkat kelab. 32 daripadanya adalah untuk Real Madrid, dan 13 adalah ketika pemain itu masih bersama Manchester United.

Kapten skuad kebangsaan Portugal itu adalah pemain pertama Juventus yang menjaringkan 25 gol di Serie A sejak kali terakhir dilakukan pada musim 1960/61 oleh Omar Sivori.

Penampilan kali ke-648 Buffon pula membolehkan beliau memecahkan rekod penampilan tertinggi di Serie A yang dipegang oleh Paulo Maldini.

Buffon kini berusia 42 tahun dan hanya diturunkan dalam perlawanan tertentu. Malah beliau terpaksa menunggu sehigga Disember lalu untuk menyamai rekod tersebut.

Termasuk dengan 17 penampilan dalam saingan Ligue 1 bersama Paris Saint-Germain pada musim lalu, Buffon kini menjadi pemain yang melakukan penampilan terbanyak di kalangan lima liga utama di Eropah.

Gareth Barry yang kini beraksi bersama West Ham di Championship sebelum ini melakukan 653 penampilan di Premier League.

Juventus kini semakin menghampiri kejuaraan kesembilan berturut-turut, memiliku kelebihan tujuh mata diatas Lazio yang berhadapan dengan AC Milan.

 

Kongsi artikel ini