Saksikan Pelancaran Jentera Baharu Ferrari F1 2020 Dengan Rekaan EXTREME

Ferrari memperkenalkan jentera baharu Formula 1 2020, dan ketua pasukan Ferrari Matia Binotto menyifatkan rekaan baharu jentera tersebut sebagai ‘ekstrem’ bertujuan untuk merebut kembali kejuaraan pada musim akan datang.

Pasukan dari Itali itu bergelut dengan prestasi sepanjang musim lalu, dan hanya memenangi 3 perlumbaan dalam musim yang didominasi oleh Mercedes.

Namun dengan pengenalan jentera baharu ini, Binotto berharap Ferrari mampu memperbaharui cabaran mereka selepas ini.

“Ia [jentera] mungkin tampak serupa dengan musim lalu, tetapi ia sebenarnya amat berlainan.

“Kami melakukan perubahan ekstrem pada konsep, untuk memastikan aerodinamik maksimum yang menghasilkan prestasi terbaik.”

Aspek aerodinamik adalah antara perkara yang merencatkan cabaran Ferrari pada musim 2019. Jentera pada musim lalu mempunyai kepantasan yang diperlukan pada pemanduan trek lurus kerana kekuatan yang dimiliki paa enjin.

Namun isu rekaan ‘downforce’ turut mengganggu prestasi Ferrari terutama di selekoh litar perlumbaan.

Binotto menekankan inilah (downforce) fokus utama Ferrari pada jentera baharu kali ini, yang turut dikenali sebagai SF1000.

Ia adalah untuk meraikan ulangtahun ke-1000 di Kejohanan Dunia Grand Prix pada tahun ini.

“Kami telah mencuba sebaik mungkin untuk memaksimumkan ketinggian downforce supaya jentera memiliki pakej yang diperlukan.

“Secara keseluruhan kami telah melakukan perubahan pada setiap komponen. Bahagian suspensi telah direka baharu untuk lebih kesesuian ketika dalam perlumbaan.

“Kami telah banyak berusaha untuk membuatkan kenderaan ini lebih ringan,” tambah beliau lagi.

 

 

Kongsi artikel ini