Saksikan Bagaimana Zlatan Ibrahimovic Cetus Kebangkitan Milan Benam Juventus

Zlatan Ibrahimovic mencetuskan kebangkitan AC Milan untuk menewaskan Juventus di San Siro pada awal pagi tadi.

Selepas babak pertama perlawanan yang buruk, Milan menjaringkan empat gol pada babak kedua perlawanan untuk memadam kelebihan 2-0 yang dimiliki Juventus.

Segala-galanya seperti rutin buat Juventus pada mulanya. Adrien Rabiot dan Cristiano Ronaldo memberikan pendahuluan selesa untuk kelab Turin itu.

Bayangan kejuaraan ke-9 berturut-turut Serie A juga seperti semakin menghampiri.

Namun gol hasil sepakan penalti Ibrahimovic pada minit ke-62 perlawanan memberikan harapan kembali kepada Milan.

Kemudian untuk lima minit seterusnya, Juventus ibarat hilang dari radar.

Selepas gol Ibrahimovic, giliran Frank Kessie untuk mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-66.

Seminit kemudian, Rafael Leao mengubah kedudukan kepada 3-2 memihak kepada tuan rumah.

Ante Rebic melengkapkan kemenangan 4-2 Milan 10 minit kemudian, dan Juventus seperti tiada jawapan kepada kebangkitan luar biasa Milan dalam perlawanan ini.

Kekalahan bermakna skuad kendalian Sarri terlepas peluang untuk melebarkan kelebihan kepada 10 mata ke atas Lazio yang tewas 2-1 kepada Leece pada Selasa.

Juventus hanya mampu menghasilkan percubaan tepat pada masa tambahan babak pertama.

Namun penyudah cantik Rabiot dari penjuru kotak penalti selepas melarikan bola dari kawasan sendiri memadam kehambaran permainan.

Ronaldo yang menjadi pemain pertama Serie A mencecah angka 25 jaringan untuk Juventus sejak 1961 pada Sabtu lalu, menyempurnakan hantaran Juan Cuadrado untuk merekodkan nama sebagai penjaring dalam luma perlawanan berturut-turut.

Malangnya Juventus kehilangan momentum selepas itu dan membenarkan Milan bangkit sebelum merekodkan kemenangan berharga dalam misi memburu slot ke eropah.

 

 

Kongsi artikel ini