Sah Tinggalkan Telford United, Kobe Chong Miliki Profil Tepat Ganti Hidalgo Di Sri Pahang

Pemain kacukan Inggeris-Malaysia, Kobe Jae Chong kini sah bergelar ejen bebas setelah pemain itu menamatkan kontrak bersama Telford FC secara persetujuan bersama.

Tidak dapat dipastikan apakah perancangan seterusnya buat pemain tengah berusia 21 tahun itu selepas ini.

Yang pasti perkembangan semasa ini turut menimbulkan khabar angin pemain itu kini berminat untuk meneruskan kariernya di saingan Liga Malaysia.

Bukan perkara mengejutkan

Ianya bukan perkara mengejutkan sekiranya Kobe Chong merancang untuk beraksi di Liga Malaysia selepas ini.

Pemain tengah itu sendiri sebelum ini mengakui pernah menerima tawaran daripada beberapa kelab di Liga Malaysia.

Pada Jun lalu, beliau juga berada di negara ini dan spekulasi ketika itu mengaitkan Kobe Chong bersama Sri Pahang FC.

Pada ketika itu, Kobe Jae Chong dikhabarkan akan menyertai Sri Pahang sebagai pengganti terus kepada Azam Azih yang dilaporkan akan ke JDT.

Namun demikian, kedua-dua perpindahan tersebut tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya Kobe menjelaskan beliau ke Kuantan untuk menimba pengalaman dan mengalami sendiri kehidupan di Malaysia.

Pada masa yang sama keberadaan Kobe bersama ejennya juga adalah untuk melengkapkan perkara berkaitan dokumentasi untuk menukar kerakyatan.

Menurut Kobe, perkara berkaitan dokumentasi akan mengambil tempoh masa yang lama. Beliau juga mengulangi keinginannya untuk menyarung jersi negara sekiranya diberikan peluang selepas itu.

Rekrut baharu Fandi Ahmad

Jika sebelum ini keberadaan Kobe Chong di Kuantan hanya berstatus spekulasi, kali ini penyokong Tok Gajah mungkin akan lebih optimis Kobe akhirnya akan menyertai pasukan itu pada musim ini.

Apatah lagi selepas Sri Pahang membenarkan perpindahan Manuel Hidalgo ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Kobe Chong dianggap sebagai pilihan pengganti yang tepat.

Tidak dapat dipastikan apakah status permohonan kewarganegaraan Kobe buat masa ini. Jika ianya sudah diluluskan, maka ia lebih mudah untuk Kobe menyertai Sri Pahang sebagai pemain tempatan.

Jika tidak Kobe akan didaftarkan sebagai pemain import sambil menunggu proses kerakyatannya diluluskan. Beraksi di negara ini turut memudahkan lagi Kobe untuk melengkapkan urusan menukar kerakyatan.

Setakat ini Sri Pahang sudah mendaftar Stefano Brundo dari Argentina, Lucas Silva (Brazil), Michael Glassock (Australia), Kpah Sherman (Liberia) dan Kevin Ingreso (Filipina) sebagai pemain import untuk musim hadapan.

Ini bermakna pasukan itu tidak mempunyai masalah untuk menambah pemain sebelum bermulanya saingan Liga Super pada 24 Februari hadapan.

Buat masa ini, semua di atas sekadar spekulasi. Sama ada benar Kobe Chong bakal menyertai Sri Pahang di Liga Malaysia, perlulah kita tunggu pengumuman rasmi daripada pemain atau kelab itu sendiri.

Kongsi artikel ini