Safiq Rahim Buktikan Karakter Sebenar Seorang Jeneral, Khuzaimi Piee Aset Terbaharu Harimau Malaya

Kedua-dua pemain ini menjadi perhatian penyokong bola sepak dalam perlawanan persahabatan Tri-Nations 2022 menentang Filipina dengan kemenangan berpihak kepada Malaysia 2-0 hasil jaringan pemain sayap Akhyar Rasid yang berlangsung di Stadium Nasional , Singapura malam tadi.

Kemenangan era baharu rejim Kim Pan-gon membawa makna yang tersendiri kepada dua pemain ini Khuzaimi Piee 28 tahun , pertahanan tengah Negeri Sembilan dan Safiq Rahim 34 tahun , midfielder JDT mendapat perhatian ramai penyokong yang memuji aksi kedua-dua pemain ini.

Pemilihan Safiq Rahim dalam skuad kebangsaan membawa dua perspektif yang berbeza di antara penyokong dan jurulatih skuad kebangsaan.

Menurut bekas pemain kebangsaan dan Pahang , Razman Roslan yang di undang ke Astro Arena sebagai pengulas perlawanan Malaysia vs Filipina beliau berpandangan di dalam liga Malaysia Safiq Rahim masih lagi merupakan pemain utama dalam skuad JDT.

“Sesiapa yang perform dalam liga sepatutnya mewakili skuad kebangsaan tidak kira bergelar pemain senior atau tua , pengalaman Safiq Rahim akan membantu pasukan kebangsaan kita”. ujarnya.

Keesh , pengulas bolasepak tempatan dan antarabangsa Astro Arena juga menegaskan bahawa kualiti yang ada pada Safiq Rahim tidak boleh dinafikan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Kata Keesh lagi , Safiq Rahim mempunyai mentaliti yang amat kuat untuk bantu dia beraksi lebih baik di atas pentas tinggi seperti AFC Cup , dan walaupun pemain ini pernah terlibat dalam kontroversi katakan tidak kepada panggilan skuad kebangsaan dengan mengumumkan persaraan pada beberapa tahun lepas , sekiranya dia memberikan komitmen 100% dalam beberapa perlawanan (antarabangsa) lagi , peminat akan melupakan isu berkenaan.

Safiq merupakan satu-satunya pemain yang terlibat dalam kedua-dua kemenangan terakhir Malaysia ke atas Filipina – pada Januari 2007 dan Mac 2022. Jarak antara dua kemenangan tersebut adalah selama 15 tahun. Satu tempoh yang amat panjang.

Seorang lagi aset tambah yang bernilai ialah Khuzaimi Piee , pertahanan Negeri Sembilan berjaya membuktikan mengapa Kim Pan-gon memilih dirinya berada dalam kesebelasan utama Harimau Malaya.

Berusia 28 tahun dan merupakan kap yang ke-2 dalam penyertaan skuad kebangsaan , ketenangan Khuzaimi yang bergandingan dengan Shahrul Saad amat luar biasa sekali. Khuzaimi pernah menyertai skuad kebangsaan pada tahun 2016 ketika perlawanan persahabatan menentang Afghanistan dibawah jurulatih Datuk Ong Kim Swee.

Tanpa Aidil sekalipun , Shahrul Saad tidak berasa kekok bersama dengan Khuzaimi dan apa yang ditunjukkan dalam tempoh 50 minit perlawanan itu kemungkinan gandingan ampuh ini akan digandingkan sekali lagi dalam perlawanan menentang Singapura.

Pemain pertahanan yang dominan kaki kiri ini rajin membantu barisan tengah dalam menjana serangan dan  beliau berjaya mengekang asakan daripada daripada barisan penyerang Filipina sehingga ketandusan idea untuk merobek gawang Malaysia.

Aksi luar biasa yang ditampilkan oleh bekas pemain UiTM ini sebelum berhijrah ke Negeri Sembilan bakal menjadi permulaan untuk terus mempamerkan prestasi yang terbaik dengan rekod tanpa bolos sehingga tamat permainan.

Adakah kedua-dua pemain akan terus dijadikan andalan Kim Pan-gon untuk perlawanan seterusnya?

Kongsi artikel ini