Sadio Mane Tak Kisah Mandi Lumpur Peraga Aksi Ketika Pulang Ke Kampung

Sadio Mane dikenali sebagai seorang pemain yang sentiasa bersederhana. Terbaru, Mane pulang kampung beliau di Senegal dan bermain bola sepak di sebuah lapangan tanah merah yang berlumpur.

Pemain itu kini sedang di dalam proses perpindahan dari Liverpool untuk menyertai Bayern Munich pada jendela perpindahan musim panas ini.

Namun ‘saga perpindahan’ tersebut tidak menghalang pemain itu untuk pulang ke kampung di sebuah desa kecil yang dikenali sebagai Bambaly.

Dah nama pun padang kampung, sudah tentu ia tidaklah secantik padang di Anfield. Hujan yang turun akan membuatkan keadaan berlumpur.

Turun bermain bola sepak di padang tanah merah itu, Mane tidak tampil bersendirian. Turut bersama beliau adalah beberapa pemain dan nama besar di dalam bola sepak seperti El Hadji Diouf dan Papiss Cisse selain dua rakan sepasukan antarabangsa Senegal, Mbaye Diagne dan Desire Segbe.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Sadio Mane (@sadiomaneofficiel)

Perlawanan tersebut bukan perlawanan bola sepak saja-saja. Ia adalah perlawanan persahabatan yang turut disertai pemain bola sepak tempatan dan orang kampung.

“Kembali ke padang di Bambaly, di mana semuanya bermula!” Tulis Mane kegembiraan merujuk kepada padang di mana sukan bola sepak ditanam di dalam jiwanya.

Melalui foto yang dikongsi di Instagram, Mane kelihatan comot akibat lumpur. Memakai pakaian yang sederhana, perlawanan tersebut turut disaksikan oleh penduduk kampung.

Mane sememangnya dikenali sebagai pemain bola sepak yang tidak gilakan kemewahan. Sikap sederhana dan pemurah membantu orang kampung di Senegal membuatkan dirinya amat disenangi ramai.

“Mengapa saya harus beli 10 Ferrari, 20 jam tangan berlian, atau dua pesawat?,” ujarnya ketika ditemual AS sebelum ini.

“Saya dulu pernah kelaparan, harus bekerja keras, bermain bola tanpa alas kaki, tidak memiliki pendidikan, dan akhirnya selamat dari masa sukar itu.

“Hari ini, apa yang saya dapat dari bola sepak membenarkan saya membantu mereka yang memerlukan. Saya mampu membina sekolah, stadium, memberikan pakaian, kasut, dan makanan untuk orang-orang miskin. Masyarakat Senegal hidup dalam ekonomi yang susah,” tambahnya.

Pada 2019, Sadio Mane dilaporkan turut menderma sebanya 270 ribu Euro untuk membina sebuah sekolah di kampung halamannya.

Kongsi artikel ini