Rusia Dan Belarus Dijemput Sertai Sukan Asia 2022 Di Hangzhou

Majlis Olimpik Asia (OCA) pada Khamis lalu telah menawarkan kepada Rusia dan Belarus untuk menyertai Sukan Asia.

Langkah itu dilihat sebagai strategi pertama untuk membenarkan kedua-dua negara bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024.

Melalui mesyuarat yang diadakan pada Rabu lalu, OCA berkata jemputan untuk atlet kedua-dua negara menyertai Sukan Asia dengan ‘syarat ketat’ wajar dipertimbangkan.

“Pihak OCA percaya dengan kepercayaan sukan mampu menyatukan, semua atlet tanpa mengira kewarganegaraan dan pasport yang mereka pegang seharusnya dibenarkan beraksi di kejohanan sukan,” ujar kenyataan daripada OCA.

“Dengan itu, OCA membenarkan atlet dari Rusia dan Belarus peluang untuk bertanding di Asia, termasuk Sukan Asia.”

Bagi sesetengah sukan, Sukan Asia juga merupakan medan kelayakan ke Olimpik dan ia diharap mampu membantu atlet dari kedua-dua negara beraksi di Paris 2024.

Pusingan kelayakan untuk melayakkan diri ke Paris 2024 sebenarnya sudah bermula, dan banyak lagi cabang sukan akan memulakan pusingan kelayakan pada tahun ini.

Sejak pencerobohan tentera Rusia di Ukraine pada Februari lalu, banyak badan sukan menggantung penyertaan atlet Rusia, manakala penaja turut menamatkan kontrak masing-masing sebagai tanda protes terhadap pencerobohan itu.

Belarus pula dilihat sebagai sekutu Rusia yang membenarkan kemasukkan tentera ke negara jiran mereka Ukraine, melalui sempadan.

Sebelum ini Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy turut menghubungi Preside n IOC, Thomas Bach pada Disember lalu untuk idea tersebut diketengahkan oleh OCA.

Pengumuman ini bermakna OCA tetap dengan pendirian membenarkan atlet dari Rusia dan Belarus untuk bertanding di Asia, bermula  di Sukan Asia 2022 yang akan  berlangsung di Hangzhou, China.

Sukan Asia 2022 sepatutnya dijadualkan berlangsung pada tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan akibat situasi pandemik yang melanda China.

Buat masa ini, tidak dapat dipastikan apakah cabang sukan yang dibenarkan oleh OCA untuk penyertaan Rusia dan Belarus.

Penyertaan acara sukan berpasukan seperti bola sepak misalnya sepatutnya tidak menjadi masalah kerana Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memiliki pertandingan kelayakan sendiri untuk menentukan pasukan beraksi di Paris 2024.

Bagi hoki, slot ke Paris 2024 akan diberikan secara automatik kepada juara Sukan Asia.

Kongsi artikel ini