Rooney Kritik Taktikal ‘Bunuh Diri’ SAF Lawan Barcelona

Bekas penyerang dan kapten Manchester United, Wayne Rooney secara terbuka mengkritik taktikal yang diguna pakai oleh Sir Alex Ferguson saat menentang Barcelona dalam dua perlawanan akhir Champions League.

Manchester United mara ke perlawanan akhir Champions League sebanyak dua kali, iaitu pada musim 2008/09 dan 2010/11. Kedua-dua perlawanan mempertemukan skuad The Red Devils dengan Barcelona.

Ia adalah antara tempoh terbaik prestasi Manchester United di saingan eropah setelah menjuarai pertandingan tersebut pada 2008 di Moscow.

Akan tetapi Manchester United gagal mengatasi Blaugrana dalam dua kesempatan tersebut.

Skuad kendalian Sir Alex Ferguson tewas 0-2 di perlawanan akhir pada 2009 yang berlangsung di Stadium Olimpico, sebelum turut tumbang kepada lawan yang sama di peringkat yang sama dengan jaringan 3-1 di Stadium Wembley dua tahun kemudian.

Tewas dua perlawanan akhir tersebut, Rooney berpendapat United mampu meraih keputusan berbeza sekiranya menerapkan taktikal dan pendekatan berbeza untuk kedua-dua perlawanan.

“Kami tewas dalam dua perlawanan akhir Champions League kepada Barcelona kendalian [Pep] Guardiola, dengan mencuba melakukan tekanan untuk mengatasi lawan, yang merupakan taktikal bunuh diri,” kata Rooney kepada media di UK.

“Saya masih ingat bagaimana Alex Ferguson berkata kepada pemain: ‘Kita adalah Man United dan kita akan menyerang. Itu semenangnya ada di dalam budaya kelab bola sepak ini.’

“Dan saya berfikir: ‘Saya tidak terlalu yakin tentang ini'”.

Menurut Rooney pilihan untuk melakukan tekanan kepada Barcelona merupakan cara yang salah untuk memenangi perlawanan tersebut.

Taktikal itu dianggap oleh Rooney sebagai berbeza dengan apa yang diterapkan ketika United menyingkirkan Barcelona di separuh akhir pada 2008.

“Saya berpendapat semua pemain tahu. Jauh di lubuk hati mereka, itu adalah pendekatan yang salah. Kami telah mengabaikan kaedah yang memberikan kami kejayaan di separuh akhir [Champion League] pada 2008.”

 

Kongsi artikel ini