Rombak Skuad B-23, FAM Bakal Ambil Jurulatih Korea Selatan Ganti Maloney?

Selepas gagal gagal meraih pingat di temasya Sukan SEA 2021 dan hanya menamatkan saingan AFC B-23 tahun di peringkat kumpulan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilaporkan bakal merombak pasukan itu selepas ini.

Rombakan terhadap pasukan itu tidak mengejutkan peminat bola sepak tanah air selepas prestasi pasukan bawah umur itu gagal menampilkan prestasi meyakinkan di dalam dua pertandingan tersebut.

Perkhabaran mengenai perubahan tersebut didedahkan oleh Ahli Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj yang memetik kenyataan presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi akaun Twitter baru-baru ini.

Tatkala skuad senior negara berjaya menempah slot ke pusingan akhir Piala Asia yang akan berlangsung pada tahun hadapan, segala perancangan dan masa depan pasukan B-23 yang dianggap sebagai pelapis pasukan kebangsaan pada masa hadapan pula dilihat kelam.

Masa depan Maloney

Turut menjadi persoalan sekiranya rombakan tersebut berlaku adalah masa depan Ketua Jurulatih, Brad Maloney.

Menurut laporan, setelah Maloney selesai menyiapkan laporan lengkap prestasi pasukan dan diserahkan kepada Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell dalam masa terdekat maka nasib pengendali tersebut bakal diketahui secara rasmi.

Di pertandingan Piala AFC B-23 yang lalu, skuad muda kebangsaan kendalian jurulatih dari Australia itu gagal untuk memberi sebarang saingan apabila tewas kepada juara bertahan, Korea Selatan sebelum turut mengalami kekalahan kepada Thailand serta Vietnam.

FAM amal dasar pandang ke Korea?

Mengambil kira impak segera yang dihadirkan oleh jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon, adakah FAM turut akan melantik seorang pengendali baharu untuk mengendalikan pasukan itu pada masa hadapan?

Kim Pan-gon yang hany tiba untuk mengendalikan skuad kebangsaan pada Februari ini dilihat telah berjaya mengubah corak permainan negara di dalam masa yang singkat.

Walaupun menggunakan barisan pemain yang hampir sama seperti ketika era Tan Cheng Hoe, variasi taktikal yang diterapkan oleh Pan-gon telah mengubah corak permainan pasukan negara menjadi lebih menarik dan efektif.

Ketelitian Pan-gon terhadap butiran kecil di dalam pasukan turut dipuji peminat bola sepak tempatan, dan ia nyata membuahkan hasil apabila pemain dilihat lebih memahami tugasan dan peranan masing-masing ketika aksi di dalam padang.

Antara perubahan ketara yang dilakukan Pan-gon dan barisan kejurulatihannya ialah kemampuan pasukan negara melakukan pressing secara berkesan, dan hasilnya dapat dilihat dalam tujuh perlawanan yang dilalui setakat ini – termasuk empat siri perlawanan persahabatan.

Mengambil jurulatih dari Korea Selatan untuk skuad B-23 juga bukan idea yang mustahil, setelah ia turut dipraktikkan oleh Vietnam baru-baru ini.

Selepas tamat saingan Sukan SEA yang lalu, Vietnam melantik Gong Oh-kyun atas rekomendasi Park Hang-seo. Di bawah kendalian Gong Oh-kyun, Vietnam mara sehingga ke suku akhir Piala AFC B-23 baru-baru ini.

Kepakaran Pan-gon

Sekiranya FAM mahu mengambil langkah yang sama seperti yang dilakukan Vietnam, maka pendapat dan cadangan daripada Kim Pan-gon turut harus diambil kira oleh badan induk bola sepak negara itu.

Pernah bekerja sebagai Pengarah Pengurusan Skuad Kebangsaan bersama Korea Selatan sebelum bergelar Ketua jurulatih dan pengurus Harimau Malaya, Pan-gon bertanggungjawab melantik jurulatih untuk pasukan senior dan skuad bawah umur.

Sudah tentu Pan-gon mempunyai kepakaran untuk menilai jurulatih yang bersesuaian untuk skuad B-23 dan memastikan pengendali baharu itu memiliki falsafah bola sepak yang sama dengan skuad senior negara.

Kongsi artikel ini