Rexy Dedah Taktikal Dan Strategi Mudah Diguna Pakai Aaron-Wooi Yik Tewaskan ‘The Daddies’ Untuk Muncul Juara Dunia

Walaupun sudah masuk ke pertengahan minggu, kejayaan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul juara dunia selepas memenangi Kejohanan Badminton Dunia BWF di Tokyo, Jepun pada hujung minggu lalu masih menjadi bualan peminat sukan tanah air.

Itu tandanya kejayaan tersebut amat membanggakan rakyat Malaysia. Namun demikian, detik bersejarah itu pastinya tidak dapat dicapai tanpa barisan kejurulatihan negara, terutamanya Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky.

Tidak dapat dinafikan kesabaran dan sumbangan jurulatih dari Indonesia itu cukup besar di dalam karier Aaron-Wooi Yik.

Rexy dedah taktikal tumbangkan gergasi Indonesia

Gandingan Mohd Ahsan-Hendra Setiawan bukanlah calang-calang pasangan di dalam acara beregu badminton dunia.

Selain merupakan gandingan utama Indonesia, pasangan tersebut juga merupakan regu yang sedang menduduki kedudukan No.3 di dalam ranking dunia BWF.

Daripada 10 pertemuan, di antara kedua-dua regu ini, Mohammad Ahsan/Hendra Setiawan juga sebenarnya lebih unggul berbanding Aaron- Wooi Yik.

The Daddies (nama jolonan Mohammad Ahsan/Hendra Setiawan) sudah menang tujuh kali ke atas pasangan negara.

Berdasarkan fakta ini, Rexy sedar Aaron-Wooi Yik harus memiliki taktikal dan strategi yang khusus untuk menumbangkan lawan mereka.

Untuk itu Rexy mengarahkan Aaron-Wooi Yik untuk mengajak regu Indonesia itu bermain rali yang panjang. Regu utama negara itu juga diarahkan oleh Rexy agar tidak tergopoh-gopoh untuk membuat pukulan balas dan mematikan bulu tangkis.

“Kita semua menyedari kehebatan Ahsan-Hendra daripada pusingan pertama sehingga ke separuh akhir. Malah mereka sebenarnya mendominasi set pertama (final),” kata Rexy.

“Saya menjelaskan kepada Aaron-Wooi Yik, daripada segi kepantasan mereka lebih bagus dan mampu bersaing dengan Ahsan-Hendra. Tetapi mereka harus memiliki keyakinan,” kongsi jurulatih itu selepas perlawanan tersebut.

“Jika kita bercakap mengenai tahap permainan mereka, kita tidak boleh komen banyak mengenai skil dan teknik, tiada apa yang boleh diubah selepas berada di sini.

“Satu-satunya perkara ialah bagaimana mereka mahu memiliki keyakinan apabila berhadapan pemain berkelas dunia. Mereka harus berfikir dengan skil yang ada, mereka mampu menewaskan gandingan mana sekali pun.

“Kemudian cuba untuk kurangkan kesilapan dan fikiran negatif ketika berada di dalam gelanggang. Hanya itu sahaja yang saya boleh bantu. Jadi apabila semua itu ada dan berhubung antara satu sama lain, sekil itu akan keluar sendiri.

Strategi itu nyata berkesan. Ia tidak menghairankan kerana regu Indonesia itu kelihatan agak keletihan pada set kedua sehingga melakukan banyak kesilapan.

Untuk rekod, Mohammad Ahsan kini berusia 34 tahun, dan pasangannya Hendra Setiawan pula berusia 38 tahun. Sebagai perbandingan, Aaron Chia baru berusia 25 tahun, dan Soh Wooi Yik kini berusia 24 tahun.

Rexy bangga pencapaian Aaron-Wooi Yik

Bercakap mengenai kritikan yang adakalanya agak melampau dilemparkan kepada Aaron-Wooi Yik kerana kerap gagal di separuh akhir, Rexy berkata ia sepatutnya diambil oleh kedua-duanya dan digunakan untuk membina mental yang lebih kuat sebagai atlet.

Rexy turut memberi analogi mengenai perasaannya yang teruja dengan kejayaan anak didiknya itu dan mengungkap ia ibarat seorang yang sakit dan tiba-tiba disembuhkan.

“Mereka adalah pemain pertama dari Malaysia yang menjuarai kejohanan ini, terima kasih kepada mereka. Saya sentiasa mengingatkan mereka agar sentiasa bermain untuk diri sendiri dan demi ibu bapa. Di dalam kes Aaron, ia adalah untuk isteri dan anak-anaknya.

“Saya amat bangga dan jujur, saya bersyukur kepada Tuhan kerana sepanjang minggu ini saya hanya berdoa meminta keberkatan untuk pemain-pemain ini membawa pulang kejuaraan pertama buat Malaysia.”

Kongsi artikel ini