Pemain import Kedah dari Brazil, Renan Alves nyata seorang yang pemurah.
Tatkala seluruh dunia kini berada di dalam keadaan sukar, pemain pertahanan itu tampil menghulurkan bantuan.
Sebelum larangan rakyat asing keluar masuk diperintahkan di negara ini pada 18 Mac lalu, Renan Alves dipercayai sempat balik ke kampung halaman beliau.

Ia berikutan saingan Liga Malaysia turut berehat sesuai dengan saranan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan.
Keadaan di Malaysia tidak jauh bezanya dengan apa yang berlaku di luar negara.
Tidak semua orang mampu berhadapan dengan masalah kesihatan global yang turut menjejaskan sumber ekonomi pelbagai golongan.
Menyedari hakikat itu, Renan Alves dan rakan-rakannya di Brazil tampil membantu dengan mengagihkan barang keperluan rumah kepada penduduk kampung sekitar kejiranan beliau.
Perkara itu dikongsikan oleh Renan di laman Instagram beliau, dan turut dikongsi sama oleh team media Kedah FA di media sosial mereka.
Melalui posting di Instagram pemain itu, beliau menyatakan kesyukurannya kerana mampu menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Renan Alves mulai menyertai pasukan Kedah sejak musim 2019, dan merupakan tunjang kekuatan skuad kendalian Aidil Sharin menjulang kejuaraan Piala FA pada musim lalu.
Bagaimanapun Renan tidak dapat beraksi di final pertandingan tersebut. Pemain itu sekali lagi kempunan beraksi di final bersama Kedah di saingan Piala Malaysia akibat pergantungan.
Sebelum menyertai Kedah, pemain pertahanan berusia 27 tahun itu turut pernah beraksi di Liga 1 Indonesia bersama Borneo FC.