Rembat Terus Ke Arah Gawang Manuel Ott Dianggap Tiada Semangat Fair Play

Pemain import Terengganu FC, Manuel Ott didakwa tidak mengamalkan semangat ‘fair play’ ketika perlawanan menentang Penang FC di saingan Liga Super Malaysia pada malam tadi.

Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan berlangsung pada malam tadi setelah jadual perlawanan dipinda sebelum ini. Kedua-dua pasukan sebenarnya dijadualkan berlangsung pada minggu ke-7 (LS7).

Insiden Manuel Ott buat percubaan terus

Insiden membabitkan Manuel Ott berlaku pada minit ke-55 perlawanan. Insiden berlaku selepas penjaga gol Penang FC, Muhammad Hafizul Hakim menyepak bola keluar untuk memberi laluan kepada pemain Terengganu menerima rawatan susulan kecederaan yang dialaminya.

Lontaran ke dalam milik Terengganu FC selepas itu sepatutnya disepak keluar atau diberikan kembali kepada Penang FC.

Manuel Ott yang menerima lontaran tersebut seperti memiliki idea tersendiri apabila merembat tinggi bola ke arah gawang Penang FC.

Bola sepakan pemain itu kemudiannya menjunam dan hampir masuk ke gawang Penang FC, sehingga memaksa Hafizul menepis keluar percubaan pemain itu.

Tindakan Manuel Ott itu mendapat reaksi daripada pemain kedua-dua pasukan sehingga berlaku tolak menolak di kalangan pemain kedua-dua pasukan.

https://youtu.be/S1jXL9dHI_s?t=6695

Reaksi penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Bandaraya itu juga jelas tidak senang dengan tindakan Manuel Ott.

Insiden tersebut kemudiannya turut mengundang layangan kad kuning kepada salah seorang pemain Penang FC kerana terlibat mencetuskan ketegangan di dalam perlawanan itu.

Untuk meredakan keadaan, Ketua Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain turut dilihat campur tangan mengarahkan anak buahnya menyepak keluar sepakan penjuru susulan yang diperolehi hasil percubaan Manuel Ott.

Kemenangan pertama Penang FC

Perlawanan menentang Terengganu FC pada malam tadi menyaksikan Penang FC berjaya merekodkan kemenangan pertama pada musim ini selepas mengharungi 10 perlawanan.

Penang FC terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-23 perlawanan melalui rembatan rendah deras pemain import dari Lebanon, Hilal El-Helwe.

Terengganu FC bagaimanapun berjaya bangkit dan menyamakan kedudukan melalui Faisal Halim sebelum babak pertama perlawanan tamat.

Gol kemenangan Penang FC terhasil pada minit ke-50 perlawanan melalui tandukan T. Saravanan selepas penjaga gol Terengganu FC, Suhaimi Husin gagal menampan kemas percubaan awal pemain Penang FC.

Kongsi artikel ini