Rekod Akaun Selangor Sahkan Terima RM1.1 Juta Daripada JDT, Benarkah Untuk Gaji?

Ini merupakan perkembangan terbaru mengenai pasukan Selangor pernah menerima bantuan kewangan daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) untuk membayar tunggakan gaji.

Menurut CEO Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, semakan beliau bersama pihak akaun kelab sememangnya menemui transaksi kewangan melibatkan jumlah RM1.1 juta daripada JDT.

Namun menurut beliau lagi, transaksi tersebut bukanlah untuk tujuan bantuan kewangan bagi menjelaskan tunggakan gaji seperti yang dilaporkan beberapa media sebelum ini.

Tetapi ia adalah berbentuk pampasan yang dibayar JDT atas urusan perpindahan pemain sebelum itu.

Perkhabaran terbaru ini membuktikan Selangor tidak pernah meminta bantuan daripada pihak lain untuk membantu kewangan pasukan walaupun sebelum 2018.

“Setakat ini, segala pembayaran gaji yang kami lakukan adalah daripada tajaan dan aktiviti komersial dan daripada pasukan Tuanku Raja Muda. Itulah keadaannya sejak 2018,” kata Dr. Johan mengenai isu tersebut.

“Sebelum 2018 pula, saya ada melakukan semakan dengan akauntan dan mendapati bahawa sebelum ini, JDT mungkin ada memberikan bayaran pampasan buat pemain-pemain Selangor yang berpindah ke Johor dan jumlahnya saya rasa dalam lingkungan RM1.1 juta.

“Tetapi untuk membayar gaji, berdasarkan pihak akauntan saya, menang tiada (bantuan) secara rasmi,” tambah beliau lagi.

Sejak sebelum 2018 lagi beberapa pemain daripada Selangor telah berhijrah untuk menyertai JDT. Antaranya adalah Safiq Rahim, S. Kunanlan, Azrif Nasrulhaq, Mahali Jasuli dan ramai lagi.

Kongsi artikel ini