RASMI: Nafuzi Zain Sah Ketua Jurularih Kedah Darul Aman FC

Spekulasi hala tuju Nafuzi Zain selepas tidak menerima tawaran lanjutan kontrak daripada Terengganu FC akhirnya terjawab apabila diumumkan sebagai Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang baharu sebentar tadi.

Perkara itu diumumkan oleh KDA FC melalui akaun media sosial rasmi KDA FC sebentar tadi. Ia bukannya rahsia KDA FC berminat untuk mendapatkan khidmat Nafuzi apabila khabar angin sebelum ini turut mengesahkan jurulatih berusia 44 tahun itu telah berbincang dengan kelab itu sejak Ogos lalu.

Pada musim ini Nafuzi dianggap cemerlang bersama Terengganu FC setelah membantu pasukan itu muncul naib juara Piala FA dan naib juara Liga Super Malaysia, sekali gus melayakkan pasukan itu bertanding di Piala AFC pada musim hadapan.

Malah prestasi cemerlang jurulatih kelahiran Kelantan itu sejak beberapa musim lalu menyebabkan beliau antara jurulatih tempatan yang menjadi rebutan beberapa kelab lain sebelum ini.

Nafuzi sebenarnya bukan watak asing di dalam bola sepak Kedah. Ini kerana beliau juga pernah beraksi bersama Sang Kenari dari 2002 sehingga 2007.

Sepanjang tempoh tersebut, Nafuzi turut pernah membantu Kedah muncul juara Liga Super pada musim 2006/2007, selain kejuaraan Piala FA dan Piala Malaysia pada 2007.

Karier kejurulatihan Nafuzi pula bermula pada 2013 bersama skuad remaja Kelantan sebelum beliau berhijrah ke Terengganu untuk melatih T-Team pada 2016.

Dinaikkan pangkat sebagai Pembantu Jurulatih skuad utama Terengganu pada 2017, Nafuzi kemudiannya diberikan kepercayaan sebagai Ketua Jurulatih pasukan utama skuad Penyu pada 2019 sehingga ke musim lalu.

Lebih menarik, turut dikhabarkan akan menyertai Nafuzi ke KDA FC adalah pemain import dari Filipina, Manuel Ott.

Perkhabaran itu turut disahkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melalui satu ciapan sebelum ini.

Ini bermakna pemain kacukan Jerman-Filipina ini akan terus beraksi di saingan Liga Malaysia buat musim ketiga berturut-turut selepas turut beraksi bersama Melaka United dua musim lalu.

Kongsi artikel ini