RASMI: Lin Dan Umum Persaraan – Tamatnya Era Seorang Lagi Legenda

Dunia badminton sekali lagi kehilangan satu lagi nama besar yang menghiasi sukan itu selama berdekad lamanya.

Kali ini giliran lima kali juara dunia dan pemenang pingat emas Olimpik sebanyak dua kali, Lin Dan mengumumkan persaraan.

Pemain badminton berusia 36 tahun itu mengumumkan persaraan daripada dunia badminton melalui media sosial pada hari ini.

“Daripada 2000 sehingga 2020, selepas 20 tahun, saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan negara. Ia adalah perkara yang sukar diluahkan.” kata pemain kidal itu.

Lin Dan adalah antara pemain paling berjaya dalam sirkit badminton dunia, dan merupakan antara pemain paling dominan di dalam sukan ini apabila merangkul kejuaraan dunia sebanyak lima kali diantara 2006 sehingga 2013.

Beliau jugalah pemain yang menghalang legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk merangkul emas di Sukan Olimpik sebanyak dua kali.

Kedua-dua pemain membentuk perseteruan yang tidak akan dilupakan peminat sukan badminton.

Kedua-duanya bertemu di perlawanan akhir untuk penentuan pingat emas di Sukan Olimpik 2008 di Beijing, dan Sukan Olimpik 2012 di London.

Detik emas Lin Dan bersama pasukan kebangsaan termasuklah kejayaan merangkul Piala Thomas sebanyak enam kali, dan lima kejayaan di Sukan Asia di antara 2006 sehingga 2018.

Persatuan Badminton China sebelum itu mengesahkan Lin Dan telah menghantar surat rasmi untuk persaraan beberapa hari lalu.

“Mengambil kira keperluan dan situasi semasa Lin Dan, pasukan kebangsaan badminton China bersetuju menerima permohinan Lin Dan untuk bersara,” ujar kenyataan dari badan badminton itu kepada akhar agensi Xinhua.

 

Kongsi artikel ini