RASMI : Dion Johan Cools Sah Senjata Baharu Harimau Malaya

Segalanya telah terungkai siapakah yang dimaksudkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Haji Hamidin bin Haji Hamid sebagai pemain ke 26 dalam skuad Harimau Malaya.

 

Dian Johan Cools telah pun tiba di hotel penginapan pasukan kebangsaan dan terus berjumpa dengan Presiden FAM tersebut dalam sesi pengenalan ringkas pemain berkenaan dengan penyerahan jersi Harimau Malaya kepadanya.

Menurut kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) , Stuart Ramalingam di dalam laman sesawang rasmi persatuan induk berkenaan bahawa proses penukaran status pasukan negara Dion Cools dari Belgium ke Malaysia sebenarnya sudah berjalan lama selepas Dion Cools sendiri telah menyatakan bahawa beliau berminat dan bersetuju untuk memilih Malaysia sebagai negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior ini.

Dalam kenyataannya juga menyebut , FAM telah membuat permohonan kepada Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan melampirkan dokumen-dokumen berkaitan pemain bersama surat perincian yang diterima daripada RBFA. Setelah membuat penelitian terhadap asas-asas yang diguna pakai dan dokumen-dokumen berkaitan , Jawatankuasa Status Pemain FIFA akhirnya telah membuat keputusan untuk meluluskan permohonan tersebut.

Selepas mendapat kelulusan FIFA, FAM dengan segera mendaftarkan nama Dion Cools dalam senarai awal pendaftaran pemain bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan selepas ia diluluskan FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), barulah FAM boleh mengumumkan secara rasmi Cools sebagai pemain Harimau Malaya.

Stuart Ramalingam menjunjung kasih kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kerana baginda telah memainkan peranan cukup penting dalam meyakinkan Dion Cools untuk memilih Malaysia sebagai pasukan negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior.

Pengalaman luas yang dimiliki oleh Dion Cools yang telah tampil dalam 21 perlawanan liga untuk naib juara Superliga Denmark , FC Midtjyland sudah pasti memberikan keyakinan kepada ketua jurulatih , Tan Cheng Hoe untuk memperkasakan pasukannya terutama di bahagian pertahanan.

Cools juga beraksi menentang Liverpool di pertandingan UEFA Champions League pada musim ini dan membantu kelabnya mendapatkan keputusan seri dengan pasukan Jurgen Klopp.

Apakah kita dapat menyaksikan gandingan empat pertahanan yang terdiri daripada Mathew Davies , Aidil Zafuan , Corbin Ong dan Dion Cools ini ketika menentang Emirates Arab Bersatu (UAE) nanti , sama-sama kita nantikan.

 

Kongsi artikel ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on print
Share on email