Rakan Datang Melawat Dedah Ronaldinho Sedih Di Penjara

Seorang rakan kepada Ronaldinho mendedahkan bekas bintang Brazil itu sebenarnya sedang bersedih kerana terpaksa menjalani hukuman penjara di Paraguay.

Bekas penyerang River Plate, Nelson Cuevas sempat melakukan lawatan di penjara untuk melihat keadaan Ronaldinho.

Bekas pemain Barcelona dan AC Milan itu didapati bersalah kerana memasuki Paraguay menggunakan dokumen palsu.

Cuevas berkata walaupun kehidupan Ronaldinho dijaga dengan rapi di penjara tersebut, bekas pemain berusia 39 itu mengakui kehidupannya sudah tidak sama seperti sebelum ini.

Bercakap kepada akhbar Infobae di Argentina, Cuevas berkata: “Beliau sedang bersedih. Kita harapkan beliau boleh keluar secepat mungkin.

“Beliau sedih kerana keseluruhan situasi. Peguam beliau sedang mengendalikan kes. Saya berharap beliau boleh keluar dari sana secepat mungkin.”

Ronaldinho dipenjarakan bersama abangnya, Roberto de Assis dan kedua-duanya dijaga rapi oleh unit has penjara.

Menteri Dalam Negeri Paraguay menyifatkan tempat Ronaldinho dan Roberto ditempatkan lebih menyerupai sebuah hotel jika dibandingkan dengan penjara.

Cuevas bagaimanapun mengakui Ronaldinho lebih selesa berbanding banduan lain di penjara tersebut.

“Dibandingkan dengan banduan lain, ya,” kata bekas pemain antarabangsa Paraguay itu menjelaskan situasi Ronaldinho.

“Tetapi ia bukan keadaan yang beliau biasa. Tempat itu sangat luas dan Ronaldinho boleh bermain bola sepak. Beliau diberikan satu bilik dengan dua katil bersama abangnya.”

Ronaldinho boleh berhadapan hukuman penjara sehingga 6 bulan selepas ditangkap pihak berkuasa kira-kira dua minggu lalu.

Penjara tersebut sedang mengadakan kejohanan futsal. Walaupun tidak terlibat dalam keseluruhan kejohanan, Ronaldinho beraksi dalam salah satu perlawanan pada hujung minggu.

Ketika itu beliau dijemput oleh banduan di Agrupacion Especializada, dan menjaringkan lima gol sambil menghasilkan enam assist.

Bolehlah kita sifatkan setiap kapten pasukan bertanding bersyukur tidak perlu berhadapan dengan Ronaldinho.

 

Kongsi artikel ini