Rakan Kongsi Mahu Premier League Halang Pengambilalihan Newcastle United

beIN SPORTS kini menjadi entiti terbaru menuntut pihak Premier League untuk menghalang pengambilalihan Newcastle United.

The Magpies dilaporkan akan dimiliki oleh kekayaan dari luar, membabitkan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman pada nilai anggaran £300 juta.

Pengambilalihan tersebut dilakukan melalui sebuah konsortium dikenali sebagai Public Investment Fund of Saudi Arabia akan memiliki 80% daripada saham Newcastle.

Kelab tersebut selama ini dimiliki oleh usahawan Mike Ashley yang merupakan pemilik Sports Direct selama 13 tahun.

Hak asasi manusia

Berita pengambilalihan oleh pihak Arab Saudi terhadap Newcastle terlabih dahulu mendapat tentangan daripada Amnesty International.

Amnesty International adalah sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan sekular antarabangsa yang ditubuhkan dengan tujuan untuk mempromosikan seluruh hak asasi manusia yang terdapat dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan piawai antarabangsa yang lain.

Bantahan daripada Amnesty adalah berkaitan penindasan hak asasi manusia yang dilaporkan berlaku di dalam kerajaan Arab Saudi yang melibatkan Putera Mohammed bin Salman secara langsung.

Bagi Amesty, membenarkan pengambilalihan tersebut diteruskan akan memberi peluang kepada pihak berkenaan untuk mencari ‘glamour’ dan menyembunyikan hakikat salah laku yang berlaku di kerajaan Arab Saudi.

Bagi sebuah negara seperti Britain yang mementing dan memperjuangkan hak asasi manusia, pengambilalihan tersebut disifatkan sebagai tidak bermoral.

Siaran haram Arab Saudi

beIN SPORTS adalah antara rakan kongsi terbesar dari luar negara untuk Premier League.

Syarikat penyiar yang berpengkalan di Qatar itu mempunyai asas mereka tersendiri untuk menyuarakan kebimbangan terhadap pengambilalihan tersebut.

Menurut beIN SPORTS, membenarkan konsortium tersebut mengambil alih Newcastle bermakna ia seolah-olah membenarkan siaran langsung secara haram untuk berleluasa di Timur Tengah.

Di kalangan negara Arab, sebuah siaran tidak berlesen dikenali sebagai beoutQ menguasai pasaran penyiaran, dan ia dikaitkan secara langsung dengan Arab Saudi.

beoutQ turut menyiarkan acara sukan berlesen termasuklah Premier League kepada beberapa wilayah di Timur Tengah.

Melalui satu surat, Ketua Eksekutif beIN SPORTS, Yousef al-Obaidly memberitahu Pengerusi Premier League bahawa pengambilalihan Newcastle oleh pihak terbabit berpotensi mendatangkan kesan buruk kepada kelab-kelab dan nilai komersil Premier League itu sendiri.

Pada ketika wabak global sedang memberi kesan kepada ekonomi dunia, beoutQ berpotensi berpotensi emnjadi perosak kepada hasil keuntungan hak penyiaran.

Ancaman beoutQ

Ancaman daripada boutQ bukan tidak disedari oleh pihak Premier League sebelum ini.

Mala pada Ogos 2018, Premier League pernah menulis surat terbuka mengkritik beoutQ dan mengesahkan beIN sebagai pemegang hak penyiaran rasmi yang sah untuk setiap perlawanan Premier League di Timur Tengah dan Utara Afrika.

Pada ketika itu pihak Premier League turut melantik pasukan guaman di Arab Saudi untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap penyiaran haram.

Masalah penyiaran haram pada ketika itu disifatkan sebagai ‘operasi cetak rompak/penyiaran haram yang canggih.’

Walaupun demikian, beoutQ seolah-olah kebal dan sukar untuk dihentikan operasinya. Pengambilalihan Newcastle United oleh Arab Saudi dijangka hanya akan membuatkan Premier League emakin popular di wilayah tersebut.

Namun ia berkemungkinan membawa impak negatif yang tidak diingini seperti penyiaran haram.

Penutup

Sejauh manakah Premier League akan dipengaruh oleh dua perkara di atas untuk memutuskan kebenaran pengambilalihan Newcastle United oleh konsortium Arab Saudi?

Adakah ianya berbaloi membenarkan pengambilalihan tersebut, apabila ada perkara lain secara tidak langsung menjadi taruhan yang hanya memberikan risiko?

Premier League dijangka hanya akan membuat pengumuman mengenai pengambilalihan tersebut di dalam tempoh 3-4 minggu. Sehingga itu, kita tidak tahu apakah lagi perkara berbangkit berkaitan pengambilalihan ini.

 

Kongsi artikel ini