Raiola Cakap Pogba Dah Okay Nak Kekal Di Old Trafford, Tapi Tak Jamin Hal Masa Depan

Ejen kepada Paul Pogba, Mino Raiola berkata pemain tengah itu kini hanya fokus untuk kembali bersama Manchester United, tetapi enggan memberi jaminan mengenai masa depan pemain itu pada masa akan datang.

Ole Gunnar Solksjaer sebelum ini bertegas Pogba akan kekal bersama United pada musim depan selepas spekulasi sekali lagi menyelubungi masa depan pemain ini.

Pemain antarabangsa Perancis itu hanya beraksi dalam lapan perlawanan untuk United sepanjang kempen musim ini, selepas terpaksa disisihkan sejak penghujung 2019 akibat kecederaan buku lali.

Selepas sebelum ini berperang mulut bersama Gary Neville dan juga Solksjaer mengenai status Pogba, Raiola juga mengesahkan kini keutamaan Pogba ialah untuk membantu United mendapatkan slot ke Champions League pada musim hadapan.

Pogba adalah pemain yang dihasilkan dari sistem akademi United, dan menandatangani kontrak selama lima tahun pada 2016 ketika tiba dari Juventus.

Di dalam situasi seperti kebiasaan, United mempunyai kelebihan menambah kontrak selama setahun, bermakna Pogba boleh terus kekal di Old Trafford sehingga musim panas 2022.

“Paul Pogba melalui masa sukar pada masa ini, dan kerana mereka [Man Utd] di England sangat sensitif, biar saya jelaskan bahawa beliau fokus untuk membabtu Manchester United mengakhiri musim ini di posisi terbaik,” ujar Raiola kepada Marca.

“Beliau mahu kembali kepada pasukan, menamatkan saingan musim ini, dan memastikan United berada di Champions League pada musim hadapan.

“Kita tidak boleh berkata apa-apa [apabila kontrak Pogba tamat pada 2021]. Kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku. Apa yang penting sekarang ialah kelab dan pasukan.

“Kita akan lihat apa yang berlaku melangkaui perkara tersebut. Terdapat banyak minat untuk Pogba. Tetapi perpindahan tidak mungkin berlaku. Apa yang berlaku tahun lalu tidak penting. Kita tunggu saja apa yang akan berlaku.”

 

Kongsi artikel ini