PSSI Yakin FIFA Dan AFC Tidak Akan Hukum Indonesia Kerana Tragedi Kanjuruhan

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yakin dua badan induk utama iaitu FIFA dan AFC tidak akan terburu-buru menghukum bola sepak negara itu disebabkan tragedi Kanjuruhan yang berlaku di Malang.

Presiden FIFA, Gianni Infantino melalui satu kenyataan semalam turut menyifatkan tragedi yang berlaku ini sebagai hari gelap untuk bola sepak

Bakal menganjurkan beberapa pertandingan antarabangsa termasuk Piala Dunia Bawah-20 (B-20) pada Mei tahun hadapan, kerisauau terbesar PSSI sudah tentuk sekiranya FIFA bertindak menarik balik hak tuan rumah negara itu untuk kejohanan tersebut.

Selain Piala Dunia B-20, Indonesia juga merupakan salah sebuah negara yang sedang membida untuk menganjurkan Piala Asia 2023, bersama-sama Qatar dan juga Korea Selatan.

Setiausaha Agung PSSI, Yunus Nusi semalam turut mengesahkan FIFA dan AFC sudah pun menghubungi beliau untuk mendapatkan laporan tragedi malang yang telah mengorbankan ratusan nyawa itu.

Bagaimanapun beliau berharap kedua-dua badan itu tidak terburu-buru mengambil keputusan dan mengalu-alukan wakil daripada FIFA dan AFC untuk datang ke Indonesia terlebih dahulu untuk mengetahui lebih jelas perkara berkaitan insiden tersebut.

“Kami tahu bahawa FIFA, AFC, tidak [akan] membuat keputusan terburu-buru. FIFA boleh sahaja berkunjung ke Indonesia untuk melihat dan mendengar secara jelas [mengenai] tragedi Kanjuruhan,” kata Yunus Nusi melalui satu sidang media semalam.

Setelah dihubungi FIFA dan AFC, Yunus turut berjanji akan terus berkomunikasi dengan dua badan dunia itu dan menyelesaikan segera masalah dan ketempangan sedia ada agar ia tidak berlaku lagi pada masa hadapan.

“FIFA dan AFC telah menghubungi saya. [Perkara] Ini menjadi perhatian [utama] semua pihak. Kami akan tetap [terus] berkomunikasi dengan FIFA agar Indonesia tidak terkesan,” jelasnya.

Rusuhan di Stadium Kanjuruhan berlaku selepas ribuan penyokong Arema memasuki padang selepas kecewa dengan kekalahan kepada Persebaya.

Insiden itu membuatkan pihak polis yang menjaga keselamatan melakukan hadangan dan menembak gas pemedih mata.

Malang sekalu yang turut menjadi mangsa adalah penyokong yang berada di tempat duduk di dalam stadium, sebelum situasi itu mencetuskan rasa panik.

Akibatnya penyokong yang masih berada di stadium cuba menyelamatkan diri dan berlaku kejadian sesak nafas dan insiden berpijakan sesama penyokong.

Turut dipersoalkan adalah tindakan pihak polis yang menggunakan gas pemedih mata di dalam situasi tersebut. FIFA melarang sama sekali penggunaan bahan itu dan perkara itu sememangnya terkandung di dalam buku peraturan badan dunia itu.

Kongsi artikel ini