PSSI & Menpora Tiada Masalah Israel Ke Indonesia Untuk Piala Dunia B-20

Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) tidak mempunyai masalah untuk mengalu-alukan Israel untuk mengambil bahagian di Kejohanan Piala Dunia B-20 yang akan diadakan di negara itu.

Indonesia telah dipilih oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20 yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

Timbul tanya sama ada Indonesia akan berhadapan masalah atau mengambil langkah menghalang kemasukan pasukan Israel ke negara tersebut – sebagaimana yang sering dilakukan oleh negara-negara lain yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara Zionis itu.

Namun menurut Ketua Ketum PSSI, Mohamad Iriawan, isu itu tidak sepatutnya timbul kerana hal politik tidak sepatutnya dicampurkan dengan sukan, termasuklah bola sepak.

“Soal Israel, saya rasa sudah ada persetujuan dengan kerajaan [sejak] tahun lalu, siapa pun yang layak, boleh datang,” kata Iriawan baru-baru ini.

“Ini bola sepak, jadi tidak ada masalah. Israel tetap akan kami alu-alukan. Perkara itu sudah dibincangkan dengan kerajaan pada tahun lalu,” ujarnya menambahkan.

Israel sudah pun mengesahkan slot ke Piala Dunia B-20 2023 yang berlangsung di Indonesia.

Sepanjang sejarah bola sepak Israel, mereka tidak pernah melayakkan diri ke Piala Dunia B-20 sebelum ini.

Israel mengakhiri cabaran peringkat kumpulan kelayakan dengan catatan empat mata, melayakkan diri sebagai naib juara di bawah England.

Malah turut senada dengan Iriawan adalah menteri Pemuda & Olahraga Indonesia (Menpora) Zainudin Amali.

“Ya dia (Israel) tetap dibenarkan datang bermain dan itu sudah kami bincangkan sejak 2019. Semua negara yang lolos/layak akan menjadi peserta, dan kami akan persilakan bermain.

“Olahraga/sukan tidak ada urusan dengan politik. FIFA sudah mengarahkan siapa yang lolos/layak harus dibenarkan mengambil bahagian,” katanya.

Keputusan membenarkan Israel tampil di Piala Dunia B-20 di negara itu kini sudah pun mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat negara itu.

Tidak seperti Indonesia, Malaysia pula antara negara yang sentiasa bertegas dalam membenarkan atlet Israel memasuki negara ini kerana tiadanya hubungan diplomasi melibatkan kedua-dua negara.

Pada tahun lalu, atlet Israel tidak dibenarkan memasuki negara ini untuk mengambil bahagian dalam Kejohanan Skuasy Antarabangsa atas sebab tersebut.

Pada 2015, peserta luncur angin dari Israel yang dijadualkan mengambil bahagian dalam satu kejohanan di Langkawi turut tidak dibenarkan memasuki negara ini.

Walaupun sering dituduh mengalamkan diskriminasi, kerajaam Malaysia sering bertegas di dalam isu ini.

Kongsi artikel ini