PSSI Enggan Masuk Campur, Ini Sebab Tanggapan Penyokong Indonesia Jordi Amat Bakal Berpindah Ke ‘Farmers League’ Adalah Salah

Perkhabaran Jordi Amat bakal menyertai JDT dalam masa terdekat mendapat pelbagai reaksi di kalangan peminat bola sepak di Indonesia.

Walaupun tidak semua, rata-rata bertanggapan Jordi Amat sepatutnya kekal beraksi di Eropah, dan bukannya memilih untuk beraksi di Liga Malaysia yang disifatkan sebagai ‘farmers league’ oleh netizen di Indonesia.

Istilah ‘farmers league’ merujuk kepada liga bola sepak yang didominasi hanya oleh sebuah pasukan. Dominasi JDT yang berjaya merangkul lapan kejuaraan Luga Super Malaysia (MSL) berturut-turut menyebabkan netizen di Indonesia bertanggapan saingan bola sepak di negara ini tidak cukup kompetitif.

Kerisauan netizen Indonesia

Ada beberapa perkara yang membuatkan netizen di negara jiran, khususnya penyokong setia Sang Garuda membantah Jordi Amat menyertai JDT.

Salah satunya adalah kerana kualiti pertandingan. Rata-rata bertanggapan Jordi Amat mampu beraksi di liga yang lebih kompetitif sekiranya kekal di Eropah.

Kerana itulah netizen di Indonesia mewujudkan kempen #stayineurope untuk mendesak Jordi Amat kekal beraksi di sana.

Malah kempen #stayineurope sudah pun dilancarkan sebelum pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengesahkan Jordi Amat bakal bergelar pemain skuad Harimau Selatan dalam masa terdekat.

Bagi mereka dengan memilih untuk beraksi di Liga Malaysia, ia adalah satu kerugian untuk pasukan negara itu memberikan taraf naturalisasi kepada Jordi Amat.

Ada yang berpendapat prestasi Jordi Amat akan merudum sekiranya beraksi di Liga Malaysia berbanding di Eropah, dan perkara itu akan memberikan kerugian kepada pasukan kebangsaan mereka.

Selain itu, penyokong bola sepak di Indonesia juga risau Jordi Amat sukar mendapatkan pelepasan daripada JDT untuk beraksi bersama skuad Garuda dalam pertandingan antarabangsa yang berada di luar jendela perlawanan antarabangsa FIFA.

Kejadian baru-baru ini melibatkan Saddil Ramdani yang dihalang Sabah FC menyertai penuh kempen skuad B-23 Indonesia di Sukan SEA di Hanoi turut dijadikan contoh.

PSSI enggan masuk campur

Exco Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Hasani Abdulgani berkata pihak badan induk bola sepak negara itu tidak masuk campur khabar angin Jordi Amat bakal menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kenyataan daripada Exco PSSI itu tiba selepas ditanya mengenai kemungkinan pemain pertahanan tengah itu bakal beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini pada bulan lalu.

Menjawab soalan netizen di Instagram mengenai khabar angin tersebut pada ketika itu, Hasani tidak menafikan atau mengiyakan khabar angin itu.

Menurut Hasani, pihaknya hanya menguruskan perkara berkaitan dokumentasi dan melengkapkan proses naturalisasi Amat dan tidak ikut campur tangan dalam pilihan kelab yang bakal disertai oleh pemain itu selepas ini.

Amat adalah pemain keturunan Sepanyol-Indonesia. Walaupun dilahirkan di Catalonia, Jordi Amat memiliki pertalian darah dengan Indonesia melalui neneknya.

Beliau kini berada di Indonesia untuk melengkapkan proses naturalisasi dan bakal diserap ke skuad Garuda kendalian Shin Tae-yong.

Tanggapan salah netizen Indonesia?

Tanggapan netizen Indonesia bakat dan kualiti Jordi Amat akan disia-siakan sekiranya menyertai JDT bagaimana pun mungkin salah.

Bebenang Twitter oleh FootballIndonesia menjelaskan perkara sebaliknya. Ini kerana JDT adalah satu-satunya pasukan dari rantau ini yang beraksi secara konsisten di pertandingan kelab elit Asia, AFC Champions League.

Malaysia juga dianggap memiliki struktur bola sepak yang lebih sesuai berbanding Indonesia kerana memiliki tiga pertandingan kompetitif (MSL, Piala Malaysia, Piala FA) yang mampu menjamin pemain sentiasa berada di tahap terbaik.

Mengambil kira saingan Liga Malaysia tamat pada Disember, maka ini juga bermakna Jordi Amat tiada masalah untuk mendapat pelepasan daripada JDT untuk beraksi bersama Indonesia di kejohanan Piala AFF pada hujung tahun ini.

Selain fasiliti yang dimiliki JDT setaraf atau lebih baik dengan kemudahan yang dimiliki kelab di Eropah, usia pemain itu yang menjangkau 30 tahun juga dipercayai memudahkan Jordi Amat sekiranya beraksi di negara jiran dan bukannya di Eropah,

Kongsi artikel ini