Isu skuad Harimau Malaya terpaksa bermain di gelanggang lain atau pun mengurangkan kapasiti stadium untuk memberi laluan kepada konsert yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jaluil (SNBJ) tidak sepatutnya timbul.
Berdasarkan jadual kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan bermula pada November ini, pasukan negara kendalian Kim Pan-gon dijadualkan akan beraksi di tempat sendiri pada 21 November akan datang.
Tarikh tersebut hanya sehari sebelum konsert Coldplay: Music of the Spheres World Tour berlangsung.
Berikutan itu timbul kerisauan di kalangan penyokong bola sepak tempatan kapasiti stadium akan dikurangkan untuk membenarkan penganjur membina pentas untuk berlangsungnya konsert tersebut.
Perkara serupa pernah berlaku ketika pasukan negara melayan pasukan Thailand di perlawanan separuh akhir Piala AFF pada Januari lalu, apabila 21,000 tempat duduk terpaksa ditutup kerana stuktur pentas mulai dibina.
Enggan perkara sama berulang kembali Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata beliau akan melakukan perjumpaan dengan Menteri Kementerian Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam masa terdekat untuk mencari jalan penyelesaian.
Menurut Hamidin isu sebegitu juga tidak sepatutnya timbul kerana FAM sememangnya memiliki kontrak dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
“Kami [FAM] memiliki kontrak dengan PSM yang mengatakan venue [SNBJ] tersebut sentiasa bersedia untuk perlawanan membabitkan Harimau Malaya ketika kalendar perlawanan antarabangsa FIFA.
“Jika perkara sama sentiasa berulang maka lebih bauk tidak perlu ada kontrak dengan pihak perbadanan,” kata Hamidin.
“Kami akan melakukan rayuan dan akan menyemak sekiranya venue boleh digunakan pada 21 November. Ia akan dilakukan selepas proses undian selesai pada Julai.”