Profil Barisan Kejurulatihan Harimau Malaya Yang Berjaya Membawa Malaysia Ke Piala Asia

Bagi anda yang berusia 41 tahun ke bawah pada 2022, pengalaman melihat pasukan bola sepak negara beraksi di pentas tertinggi Asia hanya melalui cerita daripada generasi sebelumnya.

Malah sekiranya anda berusia 50 tahun pada hari ini, kisah Malaysia ke Piala Asia di edisi ke-7 pertandingan pada 1980 pasti asing kerana anda hanya berusia 10 tahun pada ketika itu.

Malah pusingan kelayakan yang diadakan pada 1979 diadakan di Bangkok, Thailand menyebabkan bahang kejayaan mara ke Piala Asia pada ketika itu berkemungkinan kurang dirasai berbanding pencapaian yang diulangi 42 tahun selepas itu.

Ketika melayakkan diri ke Piala Asia 1980, skuad negara dikendalikan oleh Dato’ Mohamad Bakar sebagai Ketua Jurulatih.

Tidak banyak maklumat boleh dicari siapakah yang membantu beliau pada ketika itu untuk mengendalikan pasukan yang memiliki barisan pemain legenda negara seperti Mokhtar Dahari dan James Wong.

Hari ini pasukan negara dikendalikan oleh pakar taktikal daripada Korea Selatan, Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan yang lain.

Berikut adalah profil lengkap setiap daripada mereka.

Kim Pan-gon (Ketua jurulatih)

Kim Pan-gon pernah dikenali sebagai ‘Guus Hiddink Hong Kong’ kerana peranannya membangkitkan bola sepak bekas wilayah jajahan British itu, sebelum kembali ke Korea Selatan untuk  mengetuai jawatankuasa khas Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) yang betanggungjawab melantik ketua jurulatih skuad kebangsaan negara itu.

Antara tugasnya ialah melantik Paulo Bento untuk menggantikan Shin Tae-yong sebagai pengendali skuad kebangsaan Korea Selatan pada 2018.

Memiliki Lesen Pro AFC, Kim Pan-gon kini menjadi taruhan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membangkitkan kembali ‘roh Harimau Malaya’.

Jawatan Terdahulu:
2018-2022: Pengarah Pasukan Kebangsaan di Persatuan Bolasepak Korea (KFA)
2012-2017: Ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong
2011: Penolong Jurulatih Gyeongnam FC (Republik Korea)
2009-2010: Ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong
2008-2010: Ketua jurulatih South China FC (Hong Kong)
2005-2008: Penolong jurulatih Busan IPark FC (Republik Korea)

Pau Marti Vincente (Pembantu jurulatih)

Pau Marti Vicente adalah jurulatih yang berasal dari Sepanyol, dan mempunyai pengalaman luas di peringkat pembangunan bersama akademi terkenal milik Barcelona FC, iaitu La Masia.

Pau Marti juga bukan watak asing bagi Kim Pan-gon kerana kedua-duanya pernah bekerja bersama-sama ketika bersama Persatuan Bola Sepak Hong Kong.

Pernah membimbing skuad Barcelona B-18 bersama Xavi Garcia Pimienta pada 2017-2018, dan kini di bawah Iban Cuadrado, Pau Marti adalah pelatih kepada antara bakat-bakat besar Barcelona dan eropah.

Pada musim 2017-18 misalnya Pau Marti bersama Garcia Pimienta berjaya membawa skuad remaja Barcelona itu menjuarai pertandingan UEFA Youth League.

Antara pemain berbakat besar di dalam skuad remaja Barcelona bersama skuad tersebut dan selepas itu adalah seperti pemain tengah meningkat naik, Riqui Puig dan Alvaro Sanz; bek tengah meningkat, Arnau Comas; penjaga gol, Arnau Tenas; dan wonder kid, Ansu Fati.

Jawatan Terdahulu:
2021-2022: Penolong Jurulatih FC Barcelona B-18
2018-2021: Penolong Jurulatih FC Barcelona B
2017-2018: Penolong Jurulatih FC Barcelona B-19
2013-2017: Penolong Jurulatih Adelaide United FC (Australia)
2012-2013: Penolong Jurulatih Kebangsaan Hong Kong
2012-2013: Penolong Jurulatih Kitchee SC (Hong Kong)

E. Elavarasan (Pembantu jurulatih)

E. Elavarasan adalah ketua jurulatih Sarawak United ketika dipilih oleh Kim Pan-gon untuk menyertainya membentuk pasukan kejurulatihan Harimau Malaya yang baharu.

Berusia 60 tahun, Elavarasan dianggap menepati kriteria utama yang dikehendaki Pan-gon, iaitu seorang jurulatih yang berpengalaman luas dengan senario bola sepak Malaysia dan cukup mengenali pemain-pemain yang sedang beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Dikenali sebagai seorang jurulatih yang sangat straight forward dalam setiap kenyataannya, Elavarasan juga adalah seorang jurulatih yang tegas.

Jawatan terdahulu:

1994–1999: Public Bank
2001–2005: Public Bank
2006 : Melaka
2009–2012: FELDA United
2013 : Terengganu
2015–2017: PKNS FC
2018 : Melaka United
2019 : PDRM FA
2020–2021: Sarawak United

Cho Jun-ho (Jurulatih penjaga gol)

Berusia 48 tahun Cho Jun-ho memiliki pengalaman luas di dalam K-League dan pernah beraksi bersama beberapa pasukan di Korea Selatan.

Karier sebagai pemain bermula bersama kelab separuh profesional, Korea Housing & Commercial Bank FC sebelum kecekapan beliau di hadapan gawang dihidu Pohang Steelers.

Sempat beraksi bersama Jeju United di mana beliau melakukan penampilan terbanyak, Jun-ho kemudiannya beraksi bersama Daegu FC sebelum bersara dan menjadi jurulatih penjaga gol di kelab tersebut.

Karier kejurulatihan Jun-ho juga turut pernah ditagih oleh Seoul FC untuk skuad B-15, dan Chiangrai United sejak 2019 sebelum dilamar Kim Pan-gon untuk ke Malaysia.

Daripada segi kelayakan, Jun-ho memiliki Lesen A AFC dan Lesen penjaga gol Level 3 AFC.

Jawatan Terdahulu:
2020-2021: Jurulatih Penjaga Gol Chiangrai United (Thailand)
2018-2019: Jurulatih Penjaga Gol Zhongnan Codion FC (China)
2017: Jurulatih Penjaga Gol Skuad B-16 Wanita Republik Korea
2014-2016: Jurulatih Penjaga Gol Skuad B-15 & B-18 FC Seoul (Repulik Korea)
2011-2013: Jurulatih Penjaga Gol Daegu FC (Republik Korea)

Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan)

Berbanding dengan mereka yang lain, Dr. Gokhan Kandemir adalah satu-satunya pembantu bukan warga Korea Selatan di dalam pasukan kejurulatihan baharu yang dibawa oleh Kim Pan-gon.

Bersama pasukan negara, Dr. Kandemir akan bertindak sebagai jurulatih kecergasan. Baru sahaja berusia 35 tahun, beliau sudah pun memiliki Lesen A UEFA dan PhD (Movement and Exercise Science) dari Ankara University Sports Science.

Sebelum ke Malaysia, Dr. Kandemir berpengalaman luas di dalam bidang kecergasan bersama beberapa kelab di Turki seperti Gaziantepspor dan Trabzonspor.

Sebelum ke Malaysia, Dr. Kandemir adalah Jurulatih Kecergasan Kocaelispor di Superlig.

Jawatan Terdahulu:
2021-2022: Jurulatih Kecergasan Kocaelispor (Turki)
2018-2021: Ketua Jabatan Prestasi Trabzonspor (Turki)
2017-2018: Jurulatih Kecergasan MKE Ankaragücü (Turki)
2016-2017: Jurulatih Kecergasan Akademi Remaja Trabzonspor (Turki)
2016-2017: Jurulatih Kecergasan Gaziantepspor (Turki)
2014-2016: Jurulatih Kecergasan 1461 Trabzon (Turki)

Lim Jaehun (Penganalisis)

Tidak banyak boleh diperkatakan mengenai juruanalisis pasukan Harimau Malaya yang baharu ini. Tetapi dengan kelayakan yang dimilikinya seperti Lesen A AFC/KFA dan Sijil Analisis Bolasepak KFA, maka tidak hairanlah mengapa beliau dipandang tinggi oleh Kim Pan-gon

Pengalamannya di dalam analisis dan kejurulatihan juga bukan calang-calang. Selain daripada pernah menggalas peranan sebagai juruanalisis prestasi bersama beberapa kelan seperti Pohang Steelers FC dan Daegu FC, Jaeuhun turut pernah memainkan peranan yang sama bersama skuad kebangsaan Korea Selatan dari 2016-2019.

Jawatan Terdahulu:
2019-2021: Jurulatih Analisis Prestasi Seoul E-land FC (Republik Korea)
2016-2019: Juruanalisis Prestasi di Persatuan Bolasepak Korea (KFA)
2015-2016: Juruanalisis Prestasi Pohang Steelers FC (Republik Korea)
2014-2015: Juruanalisis Prestasi Shenzhen FC (China)
2013-2014: Juruanalisis Prestasi Daegu FC (Republik Korea)

Mula tugasan

Misi pertama Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan pasukan negara untuk membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2023 kini sudah berjaya.

Lebih banyak usaha keras diperlukan untuk mempersiapkan pasukan selepas ini untuk memastikan pasukan negara mampu memberi cabaran kepada pasukan handalan Asia selepas ini.

Kongsi artikel ini