“Presiden FAM Tidak Hormat Dan Enggan Jumpa Kami” – Ayah Jaami Qureshi

Ayah kepada pemain kacukan Iraq-Malaysia, Jammi Qureshi sekali lagi menyerang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dan kali ini melabel Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Bin Haji Mohd Amin tidak menghormati dirinya dan anaknya.

Sebelum ini beberapa laporan media tempatan melaporkan Jaami Qureshi bersama ayahnya, Perviz Qureshi berada di Wisma FAM pada 16 Jun lalu untuk melakukan perbincangan bersama badan induk bola sepak negara itu.

Pada ketika itu, kedua-dua pihak dijangka akan berbincang mengenai masa depan Jaami dan kemungkinan untuk pemain itu menyarung jersi skuad kebangsaan Harimau Malaya pada masa hadapan.

Namun berdasarkan perkongsian terkini di Instagram Perviz Qureshi, nyata sebaliknya yang berlaku.

Pada hari ini, Perviz memuat naik sebuah artikel temubual eksklusif Harian Metro bersama anaknya Jaami Qureshi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Perviz Qureshi (@pervizqureshi)

Namun ia bukan versi penuh temubual mengenai kekecewaan yang mereka lalui ketika berkunjung ke Wisma FAM – dipercayai pada 16 Jun lalu.

“Rakaman secara langsung tembual bersama Harian Metro telah diberikan untuk menjelaskan kekecewaan kami ketika lawatan ke Wisma FAM,” kata Perviz.

“Presiden [FAM] tidak menghormati kami kerana enggan bertemu dengan kami. Mereka juga enggan memperkenalkan kami kepada Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon.

“Kami kasihan kepada penyokong yang berharap Jaami Qureshi menyarung jersi pasukan Malaysia, tetapi jelas sekali mereka [FAM] mempunyai agenda mereka sendiri.

“Saya berharap Harian Metro menyiarkan temubual tersebut secepat mungkin kerana ia tidak terkandung di dalam siaran [artikel] ini. Bagaimana anda mahu menilai artikel ini?

Melalui artikel Harian Metro yang bertajuk ‘Nanti Saya Harimau Malaya’, Jaamo Qureshi dilaporkan belum bersedia untuk melepaskan passport British miliknya.

Malah Jaami sendiri dalam tembual tersebut mengakui ia perkara yang sukar untuk dilakukan buat masa ini.

Bagaimana pun untuk membenarkan Jaami beraksi bersama pasukan negara, beliau terlebih dahulu perlu melepaskan passport British yang dipegangnya, sebelum taraf kerakyatan boleh diberi.

Tidak dapat dipastikan sebab utama keengganan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Bin Haji Mohd Amin enggan berjumpa dengan Jaami dan ayahnya.

Namun isu passport sebenarnya pernah dibincangkan oleh kedua-dua pihak sebelum ini. Namun ia adalah soal perlembagaan negara, dan tidak ada banyak yang boleh dilakukan oleh FAM mengenai perkara itu.

Sebelum ini Jaami pernah dikaitkan akan menyertai skuad kebangsaan Iraq. Namun sehingga kini pemain itu belum lagi melakukan penampilan antarabangsa bersama mana-mana pasukan.

Kongsi artikel ini