Premier Sarawak Gesa Pengurusan FAS Disiasat

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam agar pengurusan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) disiasat selepas kegagalan persatuan itu mengendalikan Sarawak United sehingga gagal mendapat lesen kebanggsaan untuk bertanding di pertandingan Liga Super Malaysia (MSL) pada musim hadapan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Piala Abang Jo dan Dewan Baharu Persatuan Badminton Sarawak di Kuching semalam.

Menurut Abang Johari, semua sukan harus diberikan perhatian. Tidak terkecuali ialah sukan bola sepak yang sememangnya sentiasa mendapat perhatian daripada seluruh rakyat di negeri itu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

“Saya percaya kita mesti juga fokus kepada sukan tertentu dan bola sepak adalah salah satu daripadanya,” kata Abang Johari seperti yang dipetik daripada Suara Sarawak.

“Saya mengarahkan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyiasat isu bola sepak Sarawak terutama dalam pengurusan [Persatuan Bola Sepak Sarawak].”

Sarawak United dan Melaka United sah tidak akan bertanding di saingan Liga Super Malaysia musim 2023 selepas rayuan kedua-dua kelab untuk mendapatkan lesen kebangsaan ditolak oleh Malaysian Football League (MFL) pada November lalu.

 

Sarawak United adalah salah sebuah kelab yang masih ditadbir oleh persatuan [FAS], walaupun menurut peraturan penswastaan yang diperkenalkan oleh MFL pada 2020 mewajibkan kelab memiliki pemilik dan menjadi badan berasingan dengan persatuan.

Dalam erti kata lain sepanjang tempoh dua tahun sebelum ini, FAS gagal mencari pemilik baharu untuk menaungi Sarawak United.

Sarawak United dilaporkan turut mempunyai dua kes bersama FIFA, membabitkan tunggakan gaji kepada bekas pemain import, Sandro Mendonca dan Taylor Regan.

Pasukan itu turut gagal menyerahkan dokumen berkaitan menyebabkan beberapa kriteria lain membabitkan kriteria infrastruktur, semangat kesukanan, dokumen audit kewangan tahunan yang tidak selari untuk tahun 2021, selain turut gagal menyediakan struktur kewangan tahun depan.

Pada Oktober lalu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mengakui sudah tahu mengenai pengurusan bermasalah Sarawak United (SUFC), tetapi tidak boleh campur tangan berlebihan di dalam urusan kelab itu.

Abdul Karim pada ketika itu turut mendedahkan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang menaungi Sarawak United sebagai persatuan sukan yang memperolehi peruntukkan terbesar berjumlah jutaan ringgit setiap tahun daripada pihak kerajaan negeri.

Abdul Karim turut membidas cara Sarawak United berbelanja di luar kemampuan yang akhirnya menyebabkan kelab itu sendiri terjerat di dalam masalah kewangan.

Kongsi artikel ini