Pratama Arhan Rayu Penyokong Indonesia Henti Serang Instagram Kapten Tochigi SC

Bintang Indonesia, Pratama Arhan akhirnya melakukan penampilan pertamanya di Liga J2 bersama Tokyo Verdy selepas melengkapkan perpindahan ke Jepun pada Februari lalu.

Bersama kelab Jepun itu, Pratama diberikan peranan sedikit berbeza berbanding ketika pemain ini menyerlah bersama skuad kebangsaan Indonesia di kejohanan Piala AFF 2020 yang lalu.

Jika bersama Indonesia, Pratama acap kali digunakan sebagai pemain bek kiri. Namun ketika perlawanan menentang Tochigi SC pada 6 Julai lalu, beliau diturunkan sebagai pemain sayap.

Itu tidak menjadi masalah buat pemain licah berusia 20 tahun itu kerana beliau sememangnya cenderung membantu serangan pasukan bekas pasukannya, PSIS Semarang dan pasukan Indonesia.

Versatility Pratama Arhan yang turut berkemampuan bermain di sebelah kanan itu membuatkan pemain ini begitu bahaya.

Kelibat Pratama dirantai Tochigi SC

Menyedari kelincahan pemain ini, maka tidak hairanlah mengapa Ketua Jurulatih Tochigi SC, Kazuaki Tasaka mengarahkan barisan pemainya merantai pergerakan Pratama Arhan.

Dan pemain yang dipertanggungjawabkan untuk menghadkan ancaman Pratama Arhan adalah kapten pasukan Tochi SC sendiri, Kenta Fukumori yang beraksi sebagai pemain pertahanan di arah bertentangan.

Kenta Fukumori menjadi sorotan penyokong bola sepak kedua-dua pasukan, termasukpenyokong bola sepak di Indonesia yang mengikuti perkembangan Pratama di Jepun – setelah kedua-duanya sering bersaing rapat sejak minit pertama perlawanan.

Beberapa pertembungan kedua-dua pemain itu menyaksikan Fukumori sempat melakukan foul terhadap Pratama. Perkara sebaliknya berlaku, tetapi Pratama pantas mendapat layangan kad kuning daripada pengadil perlawanan.

Ini menyebabkan Kenta Fukumori menjadi sasaran kemarahan netizen Indonesia.

Mangsa serangan netizen

Disebabkan beberapa insiden di antara kedua-duanya, Kenta Fukumori menjadi mangsa serangan oleh netizen Indonesia.

Malah kapten Tochigi SC itu terpaksa menutup ruangan komen di akaun Instagram peribadinya selepas dibanjiri komen jelek penyokong Indonesia. Rata-rata bertanggapan Kenta tidak menghormati Pratama.

Sedar akan kelakuan penyokong Indonesia, Pratama tidak berdiam diri dan merayu penyokong Indonesia untuk berhenti menyerang Kenta Fukumori.

“Dengan kerja samanya, tolong hormati dan hargai seluruh pemain J League, di mana saya sedang bermain saat ini. Fukumori adalah teman saya yang sama-sama mencintai sepak bola dan juga harus kita hormati,” kata Pratama dengan tegas di IG Storynya.

Apa-apa pun Pratama pasti tidak akan melupakan debut pertamanya di Liga J2 bersama Tokyo Verdy selepas berjaya membantu pasukannya menang 1-0 dalam perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan tersebut, Pratama beraksi selama 46 minit sebelum digantikan oleh Mizuki Arai.

Kongsi artikel ini