Polis Ambil Tindakan Selepas Penyokong Liverpool Bikin Kecoh

Beberapa orang penyokong mengalami kecederaan termasuk dilaporkan ditikam selepas malam liar meraikan kejayaan Liverpool bergelar juara Liga Perdana Inggeris di bandar Liverpool pada malam tadi.

Pihak polis turut dikatakan bergelut untuk meleraikan ribuan penyokong yang hadir di Pier Head untuk meraikan kejuaraan tersebut.

Kebanyakkannya pada mulanya tiba untuk meraikan kejayaan Liverpool dengan tenang. Namun pada sebelah lewat malam, keadaan menjadi tidak terkawal dan beberapa penyokong dikatakan mengalami kecederaan.

Kebakaran turut tercetus di Liver Building akibat bunga api yang sengaja disasarkan ke arah bangunan ikonik bandar Liverpool itu.

Jurucakap Polis Merseyside mengesahkan beberapa penyokong mengalami kecederaan dan pegawai polis bertugas terus berusaha melaksanakan arahan untuk kumpulan penyokong tersebut bersurai.

Sejauh mana tahap kecederaan yang menimpa mereka yang hadir untuk meraikan kejayaan Liverpool belum boleh dipastikan.

Pihak BOMBA dan paramedik turut dikejarkan ke tempa insiden untuk membantu pihak polis.

Pada sebelah lewat malam, anggota bomba terpaksa memadam kebakaran yang tercetus di balkoni Liver Building. Berdasarkan muatnaik di media sosial, bunga api sengaja dilancarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ke arah balkoni tersebut.

Lebih menghairankan penyokong yang hadir bersorak kegembiraan apabila letusan berlaku di hadapan bangunan itu.

Polis turut menjadi mangsa makian dan ada juga yang diserang secara fizikal. Rata-rata penyokong Liverpool sebenar mengecam tindakan sebahagian daripada mereka yang seperti tiada tamadun itu.

Kumpulan penyokong Everton dan Liverpool sudah pun mengeluarkan kenyataan bahawa mereka yang terlibat bukan dari kalangan ahli mereka.

Polis telah diberikan kuasa penuh untuk meleraikan jumlah penyokong yang semakin ramai membanjiri kawasan bandar pada ketika itu.

Seorang jurucakap polis mengesahkan tiada sebarang pertemuan secara beramai-ramai dibenarkan buat masa ini di bandar Liverpool selepas insiden tersebut.

Arahan akan dikuatkuasakan sehingga 28 Jun ini.

“Kita semua tahu ramai penyokong Liverpool mahu meraikan kejayaan merangkul kejuaraan Premier League. Tetapi akan ada masa yang sesuai untuk semua ini. Sekarang dan hujung minggu ini bukan masa yang sesuai,” kata Inspector Uren.

“Malam ini kita telah melihat ramai penyokong membanjiri Pier Head menyebabkan risiko penyebaran penyakit berjangkit.

“Kami juga mahu anda menikmati masa yang indah meraikannya. Tetapi ia perlu dilakukan hanya pada masa yang sesuai. Maka buat masa ini ikutilah arahan yang diberikan oleh kerajaan.

“Jika anda melanggar arahan SOP penjarakan sosial, maka kami harus mengambil tindakan sewajarnya.

“Lindungi diri anda dan orang lain,” ujar beliau panjang lebar.

Tidak kurang 10 orang penyokong telah ditahan pihak polis disebabkan insiden tersebut. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

 

Sumber: Liverpool Echo

Kongsi artikel ini