Piala FA: Liverpool Turunkan Harga Tiket Perlawanan Ulangan Serendah £1 Lawan Shrewsbury

Liverpool telah menurunkan harga tiket perlawanan ulangan pusingan keempat Piala FA menentang Shrewsbury Town di Anfield pada minggu hadapan.

Langkah tersebut diambil selepas juara dunia itu mengesahkan akan menurunkan skuad Bawah 23 (B-23) untuk perlawanan tersebut.

Jurgen Klopp pada Ahad lalu mengesahkan beliau akan menurunkan ‘budak-budak’ untuk berhadapan kelab League One bermula 3 Februari, selepas Premier League sebelum ini memberikan cuti rehat musim sejuk.

Untuk penyokong yang ke Anfield, mereka hanya perlu membayar £15 untuk tiket dewasa, £5 untuk remaja, dan £1 untuk kanak-kanak.

Ia adalah perbezaan ketara untuk harga tiket perlawanan yang berlangsung di Anfield sebelum ini.

“Pada April 2019, kami menerima sepucuk surat daripada pihak Premier League. Mereka mahukan kami menghormati cuti musim sejuk,” kata Klopp ketika menjelaskan keputusan tersebut.

“Ia bermakna untuk tidak mengadakan sebarang perlawanan persahabatan antarabangsa, atau sebarang jenis perlawanan kompetitif.

“Dan kami menghormati permintaan itu. Saya telah memaklumkan kepada pemain dua minggu lalu, bahawa mereka akan diberi cuti musim sejuk.

“Ia bermakna kami [skuad utama] tidak akan berada di sana [aksi di Anfield]. Skuad muda akan beraksi di perlawanan tersebut.

“Anda tidak boleh berkata seolah-olah semua yang lain tidak peduli. Saya tahu ia bukan keputusan yang popular.

“Tetapi pihak Premier League meminta kami menghormati cuti musim sejuk yang diberikan. Itulah perkara yang perlu kami lakukan.

“Jika FA tidak mahu menghormati perkara tersebut, kami tidak boleh mengubahnya. Walau bagaimanapun, kami tidak akan berada di sana.”

Keputusan pengurus dari Jerman itu untuk berbuat demikian telah dikritik oleh ramai pihak.

Ramai yang melihat tindakan Klopp dan Liverpool sebagai tidak menghormati pertandingan tertua itu.

Tidak kurang juga segelintir yang berpendapat apa yang Klopp lakukan itu adalah relevan berdasarkan peraturan sedia ada.

Shrewsbury atau Liverpool akan bertandang ke Stamford Bridge untuk berhadapan Chelsea jika menang perlawanan ulangan tersebut.

 

Kongsi artikel ini