Piala Dunia: Sudahlah Tewas, Jepun Kemudian Difitnah Hanya Kemaskan Bilik Persalinan Jika Menang

Jepun dituduh hanya memastikan bilik persalinan mereka ditinggalkan di dalam keadaan kemas dan bersih sekiranya pasukan mereka menang. Dan perkara sebaliknya akan berlaku sekiranya pasukan mereka tewas.

Kejayaan Jepun menewaskan Jerman 2-1 dalam perlawanan pusingan pertama peringkat kumpula di Piala Dunia bukan sahaja menjadi satu-satunya perkara yang mengangkat bola sepak negara matahari terbit itu.

Dikenali dengan sikap pembersih, Jepun turut meninggalkan bilik persalinan dengan keadaan kemas dan bersih.

Bagi mereka yang sudah lama mengikuti perkembangan skuad kebangsaan Jepun di mana-mana pertandingan antarabangsa, disiplin sedemikian sebenarnya bukan perkara yang asing lagi.

Sikap pembersih bukan sahaja dikenali di kalangan pemain, tetapi juga penyokong bola sepak Jepun yang sanggup tinggal seketika selepas tamat perlawanan untuk membersihkan kawasan stadium.

Dalam perlawanan kedua Kumpulan E semalam Jepun bagaimanapun tewas kepada Costa Rica dengan jaringan 1-0 walaupun mendominasi hampir keseluruhan perlawanan.

Costa Rica pula memanfaatkan satu-satunya percubaan yang menepati sasaran pada minit ke-81 melalui Keysher Fuller Spence untuk mendapatkan gol kemenangan.

Satu kemenangan dan satu kekalahan yang dilalui Jepun setakat ini sedikit sebanyak merencatkan peluang jaguh dari Asia itu untuk mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia di Qatar kerana perlu berhadapan dengan Sepanyol selepas ini.

Kemudian tular sebuah foto di media sosial menunjukkan bilik persalinan Stadium Ahmad Bin Ali yang kononnya ditinggalkan oleh skuad Jepun dalam keadaan bersepah.

Timbul tanggapan bahawa pasukan itu hanya membersihkan bilik persalinan yang mereka pakai sekiranya mendapat hasil yang positif sahaja. Benarkah demikian?

Sudah tewas, difitnah pula

Sebenarnya dakwaan ini tidak benar sama sekali. Sudahlah tewas kepada Costa Rica, skuad Samurai Biru itu kemudiannya difitnah dengan perbuatan yang bukan mereka lakukan.

Malah gambar yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab itu juga bukan bilik persalinan di Stadium Ahmad Bin Ali.

Sebaliknya ia adalah bilik persalinan yang ditinggalkan oleh pasukan kebangsaan Itali selepas pasukan itu ditewaskan oleh Macedonia Utara dalam satu perlawanan play-off kelayakan Piala Dunia Zon Eropah beberapa bulan lalu.

Perlawanan yang berkesudahan dengan kemenangan 0-1 kepada Macedonia hasil jaringan minit akhir Aleksandar Trajkovski tersebut berlangsung di Stadium Renzo Barbera yang terletak di Palermo, Itali.

Biarlah orang nak mengata sekali pun. Perkara terpenting buat skuad Jepun kini ialah untuk mengembalikan fokus agar satu lagi kejutan mampu terhasil dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan nanti.

Jepun bakal berhadapan dengan Speanyol pada 2 Disember hadapan untuk merebut dua kedudukan terayas kumpulan, sekaligus mara ke pusingan kalah mati kejohanan.

Kongsi artikel ini