Pemain Piala Dunia ragbi Itali, Maxine Mbanda bekerja selama 13 jam sebagai pemandu ambulan untuk membantu melawan wabak coronavirus yang semakin menular di Itali.
COVID-19 telah memberikan kesan mendalam kepada bidang sukan di seluruh dunia, dan Itali sendiri berhadapan dengan krisis yang amat besar akibat wabak ini.
Pemain sayap, atau flanker yang beraksi bersama kelab Zebre di Parma kini mempunyai lebih banyak masa untuk membantu Jabatan Kesihatan sebagai sukarela selepas penangguhan acara sukan di seluruh dunia.
Bidang kesihatan mungkin bukan perkara yang asing buat Mbanda. Ayahnya adalah seorang jurubedah di Itali. Ini bermakna Mbanda juga sedar akan ancaman yang dibawa oleh COVID-19.
“Apabila segalanya dibatalkan di dalam sukan ragbi, saya tertanya-tanya bagaimana saya boleh membantu, walaupun tanpa kemahiran medikal.
“Saya bermula lapan hari yang lalu tanpa ada satu hari rehat pun dengan shift selama 12 atau 13 jam.
“Tetapi apabila saya melihat apa yang berlaku dimana mereka yang sudah dijangkiti ditempatkan, saya memberitahu diri sendiri bahawa saya tidak boleh berehat.
“Takut itu perkara normal. Tetapi ada beberapa perkara yang boleh dilakukan dengan selamat [seperti memandu ambulan] demi untuk membenarkan mereka yang bertugas di barisan hadapan mempunyai rehat setengah jam atau satu jam.
“Bagi mereka tempoh sejam rehat itu amat bermakna.
“Selagi saya masih mempunyai kudrat, saya akan teruskan. Saya berada di sini dan saya akan terus kekal berada di sini.
“Saya bermula Yellow Cross, dimana tugas utama ialah untuk menghantar ubayan dan makanan kepada warga tua.
“Akhirnya saya berakhir dengan menghantar pesakit yang positif COVID-19 dari satu hospital ke hospital lain. Saya membantu dengan membawa pengusung jika ada pesakit yang memerlukannya, atau pun kerusi roda.
“Saya juga membawa tong oksigen untuk pesakit.”
View this post on InstagramA post shared by Maxime Mbandà (@maxime.mbanda) on
Sehingga kini lebih 6,000 kematian direkodkan di Itali menjadikan negara tersebut dengan kematian tertinggi akibat wabak pembunuh ini.
Sedikit melegakan apabila peratusan kematian sedikit menurun sejak dua hari yang lalu, dan Mbanda menasihatkan setiap rakyat di Itali terus kekal berada di rumah dan patuh kepada arahan kerajaan demi menghentikan penularan berterusan.
Mbanda turut berkongsi pengalamannya ketika menghantar pesakit ke hospital dan bercerita mengenai keadaan di sana pada ketika ini.
“Anda boleh mendengar bunyi penggera, dan anda boleh melihat bagaimana doktor dan jururawat bergegas dari wad sebelah ke wad yang lain,” tambah Mbanda.
View this post on InstagramA post shared by Maxime Mbandà (@maxime.mbanda) on
“Seorang pesakit yang saya akan pindahkan [ke hospital berlainan] berkata beliau hanya tiba di sana selama tiga jam, dan pesakit di katil bersebelahan beliau baharu sahaja meninggal dunia.
“Pada sebelah malamnya pula, dua wanita turut meninggal dunia di bilik wad yang sama. Saya tidak pernah melihat orang meninggal dunia di hadapan mata sebelum ini.
“Jika orang ramai melihat apa yang saya lihat di hospital, saya yakin tidak ada orang akan berbaris di pasaraya lagi sekarang.
“Mereka akan berfikir dua, tiga atau empat kali sebelum keluar dari rumah.
“Saya melihat ramai pesakit tak kira usia, menggunakan alat bantuan pernafasan dan oksigen. Doktor dan jururawat bekerja 20 sehingga 22 jam tanpa henti, tidak tidur walaupun seminit dan berharap mampu berehat pada hari seterusnya.”