Piala Dunia: Mengapa Pemain Dan Penyokong Maghribi Trendingkan #DIMAMAGHRIB?

Maghribi mencipta sejarah apabila menjadi negara Afrika pertama berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Piala Dunia.

Berbanding dengan beberapa pasukan pilihan kejohanan, Maghribi sebelum ini agak sepi dari liputan media yang memfokuskan kepada pasukan seperti Jerman, England, Brazil, Portugal atau lebih tepatnya Cristiano Ronaldo.

Tetapi kejayaan Maghribi mencipta kemenangan demi kemenangan, termasuk menyingkirkan Ronaldo dan Portugal di suku akhir, menjadikan mereka sebagai pasukan paling mendapat perhatian di seluruh dunia pada hari ini.

Dan hanya dengan satu kemenangan sahaja lagi, Maghribi akan mencipta satu lagi sejarah tampil sebagai pasukan pertama dari Afrika mara ke perlawanan akhir Piala Dunia.

Kita lupakan sebentar perlawanan separuh akhir di antara Maghribi dan Perancis esok. Kini perjalanan Maghribi di Piala Dunia mulai menjadi trending di media sosial dengan #DIMAMAGHRIB.

Maghribi trendingkan #DIMAMAGHRIB?

#DIMAMAGHRIB dilihat mulai digunakan oleh penyokong dan pemain Maghribi di akaun media sosial masing-masing.

Pemain pertahanan, Nayef Aguerd antara pemain yang mempopularkan hashtag tersebut di setiap perlawanan membabitkan Maghribi di Qatar.

Laungan ‘DIMA MAGHRIB’ turut dilaungkan oleh Achraf Hakimi untuk mengumumkan Maghribi sebagai pasukan pertama dari Afrika yang berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Carian di media sosial pada mulanya menemui pelbagai andaian akan makna sebenar ‘DIMA MAGHRIB’. Malah ada yang berpendapat ia adalah singkatan kepada ‘Dimana Maghribi’ seolah-olah ia adalah singkatan daripada Bahasa Malaysia.

Maksud sebenar #DIMAMAGHRIB

Sebenarnya kata ‘Dima’ berasal dari Darija atau dalam Bahasa Arab dialek wilayah Maghreb membawa maksud ‘selamanya’.

Sementara ‘Maghrib’ adalah bagaimana rakyat Magribi/Morocco menggelar negara mereka.

Asalnya daripada nama rasmi negara, iaitu Al-Magribiyyah. Ini bermakna #DIMAMAGHRIB sebenarnya membawa maksud “Selamanya Maghribi.

Daripada mana pula asal nama Morocco? Adakah Morocco terjemahan Bahasa Inggeris kepada Maghribi? Jawapannya tidak.

Nama rasmi/penuh negara Maghribi sebenarnya adalah Al-Mamlakah Al-Maghribiyyah. Jika diterjemahkan ia membawa maksud ‘Kerajaan di Tepi Barat’.

Sementara asal nama Morocco/Moroko datangnya daripada nama Kota Marakesh, salah sebuah kota terpenting di Maghribi sejak Kekhalifahan Almohad.

Marakesh dalam Bahasa Amazigh (bahasa yang ditutur di kebanyakkan negara Afrika utara) pula bermaksud ‘Land of God’/ ‘Tanah Milik Tuhan’.

Hari ini Marakesh adalah wilayah keempat terbesar di Maghribi.

Kongsi artikel ini