Piala Dunia: Jurulatih Dilantik Kim Pan-gon Letak Jawatan Selepas Korea Selatan Disingkirkan Brazil

Ketua Jurulatih Korea Selatan, Paulo Bento mengumumkan peletakkan jawatan sebagai pengendali skuad kebangsaan negara itu sebaik sahaja skuad Taeguk Warriors tewas 4-1 kepada Brazil di pusingan kalah mati 16 pasukan terbaik Piala Dunia pada awal pagi tadi.

“Saya baharu sahaja memaklumkan kepada para pemain dan Presiden Bola Sepak Korea Selatan mengenai peletakan jawatan.

“Keputusan ini sebenarnya telah saya ambil sejak September lalu sebelum bermulanya kejohanan Piala Dunia 2022,” ujar beliau seperti yang dipetik daripada Daily Mail.

Jurulatih dari Portugal itu mengesahkan beliau tidak lagi bersama Korea Selatan dalam sidang media selepas perlawanan yang berlangsung di Stadium 974 di Doha, Qatar.

“Hari ini tugas saya juga adalah untuk mengesahkan [peletakan jawatan] ini. Saya berterima kasih kepada pemain untuk setiap usaha mereka sepanjang kejohanan.

“Son Heung-min dan rakan sepasukan yang lain telah memberikan yang terbaik. Saya amat berbangga kerana menjadi jurulatih mereka,” tambah pakar taktikal itu lagi.

Untuk perlawanan menentang Brazil yang menduduki kedudukan No.1 dunia di dalam senarai ranking FIFA, Paulo Bento mahu melakukan kejutan apabila bermain secara terbuka dengan taktik menyerang.

Namun jurulatih berusia 53 tahun itu kini akur pendekatan tersebut tidak sesuai menentang skuad Brazil yang dipenuhi oleh deretan bintang bola sepak dunia.

Hanya selepas 36 minit perlawanan berlangsung, pasukan yang terkenal dengan jolokan ‘The Selecao’ telah membolosi gawang Korea Selatan sebanyak empat kali melalui jaringan Vinicius Jr, Neymar, Richarlison dan Lucas Paqueta.

Korea Selatan pula jelas bergelut di dalam perlawanan ini, namun berjaya mendapatkan gol saguhati menerusi Park Seung-ho.

Jurulatih pilihan Kim Pan-gon

Paulo Bento dianggap sebagai salah seorang jurulatih berpengalaman di Eropah dan pernah melatih beberapa pasukan seperti Sporting CP, Cruzeiro dan skuad kebangsaan Portugal.

Beliau merupakan jurulatih pilihan Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) untuk menggantikan Shin Tae-yong yang dipecat selepas kegagalan membawa Korea Selatan ke pusingan kalah mati di Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Rusia.

Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon adalah antara individu yang bertanggungjawab memecat Tae-yong, sebelum melantik Paulo Bento pada 17 Ogos 2018.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon

Pada ketika itu Pan-gon adalah Ketua Ahli Jawatankuasa Khas Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) yang dilantik khusus untuk mengendalikan jurulatih-jurulatih yang mengendalikan pasukan kebangsaan di setiap peringkat usia.

Ketika meninggalkan KFA pada awal tahun ini, Pan-gon percaya Bento adalah jurulatih yang sesuai dan akan membawa Korea Selatan dengan jayanya di Piala Dunia Qatar.

“Berdasarkan prestasi terkini, saya percaya pasukan kebangsaan negara kita akan layak ke pusingan akhir Piala Dunia,” ujar Pan-gon pada Januari lalu setelah mengesahkan beliau meninggalkan KFA.

“Tambahan lagi, pelantikan jurulatih skuad B-23 dan B-20 telah dilakukan dengan jayanya. Pasukan wanita kebangsaan juga diyakini berada di dalam landasan yang betul.

“Mengambil kira saya telah melakukan yang terbaik sebagai Pengerusi Jawatankuasa khas KFA, saya berpendapat tiba masanya untuk saya kembali menjadi pelatih.”

Walaupun gagal mengulangi pencapaian yang dilakukan pada 2022 ketika bergelar tuan rumah, Korea Selatan dianggap telah melalui kempen yang cukup baik di Qatar walaupun negara itu sedikit terkilan gagal ke suku akhir kejohanan.

Kempen Piala Dunia 2022 Korea Selatan bermula dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Uruguay pada 22 November, sebelum pasukan itu tewas dramatik dengan jaringan 3-2 kepada Ghana di perlawanan kedua selang empat hari kemudian.

Korea Selatan bagaimanapun berjaya mengejutkan jaguh Eropah, Portugal dengan jaringan 2-1 untuk muncul naib juara Kumpulan H, sekaligus mara ke pusingan 16 pasukan terbaik sebelum disingkirkan Brazil.

Bento kini dilaporkan mahu berehat seketika daripada bola sepak untuk meluangkan masa bersama keluarganya sebelum memulakan pengembaraan baharu selepas ini.

Kongsi artikel ini