Piala Asia 2023: Harimau Malaya Dijangka Beraksi Di Korea Selatan Atau Qatar

24 pasukan telah mengesahkan kelayakan ke pusingan akhir Piala Asia 2023. Persoalannya kini, di manakah pusingan akhir kejohanan bola sepak terulung Asia itu akan diadakan?

Berdasarkan perancangan asal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kejohanan edisi ke-18 itu akan diadakan di China.

Namun disebabkan ancaman pandemik yang belum reda di negara itu, Persatuan Bola Sepak China (CFA) dan AFC bersetuju agar penganjuran di negara itu dipindahkan ke venue lain.

Menurut Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John, perkara paling utama dalam penentuan tuan rumah adalah jaminan daripada pihak kerajaan bagi memastikan Piala Asia dapat berlangsung secara terbuka tanpa sebarang sekatan seperti sebelum COVID-19 melanda.

AFC tidak mempunyai masalah daripada segi pilihan negara yang sanggup menjadi tuan rumah kejohanan tersebut pada tahun hadapan.

Tarikh akhir bagi semua persatuan negara anggota (MA) yang berminat untuk menyerahkan EoI mereka adalah 30 Jun 2022 akan datang

Proses pemilihan sudahpun dipercepatkan dan tuan rumah pertandingan itu tidak akan lagi dipilih oleh Kongres AFC.

Sebaliknya, pentadbiran konfederasi itu akan menetapkan terma-terma dan syarat-syarat proses bidaan bagi mencari pengganti tuan rumah serta menyerahkan laporan untuk membolehkan jawatankuasa eksekutif AFC membuat keputusan muktamad.

Persatuan Bola Sepak Jepun menyatakan ia sudahpun dimaklumkan secara tidak rasmi tentang kemungkinan negara itu menggantikan China selaku tuan rumah.

Seorang pegawai Persatuan Bola Sepak Korea Selatan pula berkata mereka sudahpun mengadakan mesyuarat setelah China melepaskan haknya selaku tuan rumah tetapi kesuntukan masa untuk menganjurkan pertandingan peringkat antarabangsa di negara tersebut.

Berdasarkan fasiliti yang dimiliki, Qatar turut dikatakan antara negara pilihan untuk menganjurkan kejohanan tersebut.

Pemilihan Qatar pula berkemungkinan akan memaksa penganjuran Piala Asia hanya akan diadakan pada Januari 2024.

Kongsi artikel ini