Piala AFF Wanita: Gol Kontroversi Skuad ‘Level’ Piala Dunia Filipina Belasah Malaysia 4-0

Filipina semakin hampir melayakkan diri ke separuh ahir Kejohanan Piala AFF wanita selepas membelasah Malaysia 4-0 di Stadium Memorial Rizal pada malam tadi.

Filipina mengasak kubu pertahanan Malaysia sejak wisel permulaan, tetapi perlu menunggu sehingga minit ke-32 untuk membuka tirai jaringan, hasil gol pemain gantian, Sara Eggesvik.

Dimasukkan kerana menggantikan rakan sepasukan yang mengalami kecederaan, Eggesvik kemudiannya turut menghasilkan satu assist untuk membantu skuad Filipina merekodkan 100% kemenangan dari 3 perlawanan yang telah dilalui setakat ini.

Selain Eggesvik, tiga lagi jaringan Filipina dihasilkan oleh Katrina Guillou, Quinley Quezada dan pemain gantian, Anicka Castaneda.

Tidak banyak ancaman diberikan oleh pasukan negara ke kubu Filipina juga menyebabkan penjaga gol, Alen Stajcic lebih banyak berehat, berbanding Azurin Mazlan yang sibuk sepanjang 90 minit perlawanan.

Jaringan pertama Filipina oleh Eggesvik sebenarnya terlebih dahulu mencipta kontroversi kerana pertikaian sama ada bola telah pun melepasi garisan gol

Masuk untuk menggantikan Kaya Hawkinson yang mengalami kecederaan kepala, Eggesvik melambungkan bola dari jarak jauh selepas menyedari Azurin berada agak keluar dari kawasan gawang yang dikawalnya.

Azurin sempat menangkis bola percubaan Eggesvik, tetapi bola lantunan tatkala penjaga gol negara itu sudah terjatuh, dipercayai telah melepasi garisan gol.

Jaringan oleh Filipina itu mendapat bantahan pemain Malaysia, tetapi pengadil perlawanan, Thein Thein Aye tetap memberikan jaringan tersebut kepada Filipina.

Pemain negara kelihatan hilang fokus selepas itu dan membenarkan Guillon menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-42 perlawanan.

Babak kedua menyaksikan giliran Quezada berjaya melebarkan kelebihan Filipina kepada 3-0, sebelum Castaneda melengkapkan kemenangan 4-0.

Kemenangan tersebut memastikan Filipina terus unggul di kedudukan teratas Kumpulan A dengan 9 mata selepas menjaringkan 12 gol dan tidak dibolosi sepanjang tiga perlawanan yang mereka lalui sebelum ini.

Skuad wanita Filipina kini menduduki ranking ke-53 dunia dan telah mencipta sejarah layak ke pusingan akhir Piala Dunia Wanita 2023 pada awal tahun ini.

Sebagai perbandingan Malaysia pula kini berada di kedudukan ke-85 dunia.

Kongsi artikel ini