Piala AFF Suzuki 2020 : Park Hang Seo Anggap Menentang Malaysia Ibarat Perlawanan Akhir

Ketua jurulatih Vietnam menganggap pertemuan dengan Malaysia diibaratkan sebagai satu perlawanan akhir yang terpaksa mereka hadapi walaupun ia adalah perlawanan kedua buat pasukan Pahlawan Naga Emas itu dan ketiga untuk skuad Harimau Malaya di kumpulan B.

Pengendali yang berasal dari Korea ini berkata sedemikian semasa sidang media bersama para wartawan yang dipetik dari 24.com Vietnam. Ini jelas menunjukkan Park Hang Seo sangat serius menghadapi Malaysia pada esok (Ahad) 12 Disember 2021 di Stadium Bishan , Singapura pada jam 08.30 malam.

“Kami akan mencuba bermain sehabis baik. Tidak fikir bahawa Malaysia menang dua perlawanan sebelum ini. Ia ibaratkan dalam perlawanan akhir”.

Kini skuad Vietnam berada di tangga ketiga di bawah Indonesia selepas menewaskan Laos 2-0 dan berkongsi tiga mata sama yang cuma dibezakan dengan jumlah jaringan gol manakala Malaysia memimpin carta kumpulan B dengan jumlah enam mata.

Oleh demikian Park Hang Seo mahukan anak buahnya fokus dalam perlawanan berkenaan untuk menewaskan Malaysia kerana kekalahan akan menjadi penyebab mereka tersingkir ke pusingan kalah mati.

Pasukan gergasi Asia Tenggara yang berada di tangga ke 99 dalam ranking bolasepak dunia sentiasa menjadi duri dalam daging kepada Malaysia yang seringkali tewas dalam perlawanan penting.

Di Piala AFF Suzuki 2018 , Vietnam menjadi juara untuk kali kedua dalam pertandingan berkenaan dan menyaksikan pasukan Tan Cheng Hoe terpaksa berpuas hati menjadi naib juara selepas tewas dengan aggregat 3-2.

Sebelum ini , Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia , Datuk Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin telah menyampaikan amanat dan kata-kata semangat menyeru agar Vietnam dapat dikalahkan  kepada para pemain-pemain kebangsaan sebelum mereka berlepas ke Singapura 03 Disember lalu.

“Apabila anda sudah masuk ke dalam pasukan dan menyarung jersi Harimau Malaya, saya mahu semua pemain ini beri segalanya yang terbaik yang mereka ada dan fokus sepanjang kejohanan berlangsung.

“Sudah pasti 20 pemain yang akan berlepas dari Kuala Lumpur ini serta empat pemain dari luar negara yang akan menyertai pasukan di Singapura nanti iaitu Junior Eldstal, Dominic Tan, Luqman Hakim dan Dion Cools saya kira sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab masing-masing dalam membawa nama Malaysia.

“Pentas Asia Tenggara ini sepatutnya tiada masalah buat mereka dan ingin saya tegaskan di sini bahawa yang kali ini, kita mesti mengalahkan Vietnam bagi membuktikan yang Malaysia juga sebenarnya sama kuat dan hebat,” kata Datuk Haji Hamidin.

 

 

Kongsi artikel ini