Piala AFF B-19 : Penampilan Pertama Omar Raiyan Gagal Bantu Harimau Muda Jinakkan Singapura

Pemain Red Star Belgrade , Omar Rayyan Azlan telah membuat penampilan pertamanya bersama pasukan Harimau Muda dalam perlawanan menentang Singapura di Kejohanan Piala AFF 2022 B-19 di Jakarta Indonesia semalam yang sekadar mendapat keputusan seri 0-0 sahaja.

Jurulatih pasukan B-19 tahun , Hassan Sazali membuat rombakan hampir keseluruhan pasukan hanya mengekalkan tiga pemain yang telah beraksi dalam perlawanan pertama setelah menewaskan Kemboja 2-1 kelmarin.

Bagaimanapun , pemain yang dilahirkan di negara Arab UAE itu terpaksa menunggu pada minit ke-80 sebagai pemain gantian dan dapat melakukan beberapa gerakan serangan dalam memecahkan kebuntuan menembusi gawang gol Singapura namun tidak sampai.

Harimau Muda dalam usaha meraih kemenangan keduanya mendapat peluang untuk menjadi pendahulu perlawanan itu tetapi percubaan Haikal Sahar dapat dinafikan oleh penjaga gol Singapura pada minit ke-10.

Skuad Singapura turut mendapat beberapa peluang untuk menghasilkan gol namun percubaan mereka juga menjadi sia-sia.

Sepakan dari luar kotak penalti dan sepakan percuma gagal dimanfaatkan oleh Singapura sekaligus menyelamatkan nasib skuad Hassan Sazali yang ternyata corak permainan mereka tidak menepati jangkaan penyokong Harimau Malaya.

Harimau Muda masih menampilkan aksi yang kurang menyengat meskipun menguasai perlawanan di separuh masa kedua dan Singapura mengambil peluang menguji benteng pasukan negara.

Mujur penjaga gol Zulhilmi Sharani berjaya menggagalkan percubaan daripada pemain berjersi nombor tiga Singapura , Raoul yang bijak melepasi dua pertahanan Malaysia dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan deras dan percubaan jarak dekat penyerang Singapura yang cuba mengambil kesempatan untuk peluang yang kedua.

Skuad B-19 tahun kini berada di tangga kedua dalam kumpulan B di mana Laos telah menang dua perlawanan untuk menjadi pendahulu dalam kumpulan berkenaan.

Malaysia akan berhadapan dengan skuad Timor Leste pada hari esok dan sudah pasti mahu memungut tiga mata penuh bagi mencapai sasaran layak ke suku akhir dalam kejohanan berkenaan.

ย 

ย 

Kongsi artikel ini