Piala AFC: Lihat Aksi Lima Bintang Ngah Wanja Bantu KDA FC Benam Kaya

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) merekodkan kemenangan pertama di pertandingan Piala AFC pada musim ini apabila membenam cabaran kelab Filipina, Kaya Iloilo dengan jaringan 4-1 di Stadium Kapten I Wayan Dipta pada malam tadi.

Kecundang 0-2 pada aksi pertama Kumpulan G di tangan Bali United, corak permainan berbeza dipamerkan Sang Kenari pada aksi kedua di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar di Bali.

Dan nyata pemain import dari Cameroon, Ronald Ngah Wanja telah menjadi nadi penting kemenangan KDA FC, apabila pemain penyerang itu menghasilkan dua assist dan satu jaringan buat dirinya dalam perlawanan tersebut.

Bagaimana pun KDA FC perlu menunggu sehingga minit ke-57 perlawanan untuk menghasilkan gol pertama perlawanan.

Bermula dengan gerakan dari sebelah sayap kiri, Ronald Gah yang mendapar lorongan dari rakan sepasukan berjaya melepasi halangan seorang pemain pertahanan Kaya FC sebelum melintangkan bola rendah di dalam kawasan kotak penalti untuk disudahkan oleh Fayadh Zulkifli.

Melalui gerakan yang hampir serupa oleh dari sebelah kiri, KDA FC selepas itu melebarkan kedudukan melalui rembatan kencang kaki kanan Mahmoud Almardi selepas pemain itu mendapat umpanan daripada Ngah Wanja.

Selepas menghasilkan dua assist, kini giliran Ngah Wanja mengukuhkan kedudukan buat KDA apabila meledak gol ketiga pada minit ke-82 selepas melarikan bola melepasi seorang pertahanan Kaya juga dari sebelah kiri.

Kelab dari Filipina itu bagaimana pun berjaya merapatkan jurang menerusi Javier Gayoso empat minit kemudian.

Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan Fayadh mengesahkan KDA FC menghasilkan kemenangan bergaya apabila menyumbang gol keempat pasukannya pada masa kecederaan.

Kemenangan tersebut menyaksikan KDA FC naik ke tangga ketiga Kumpulan G, berkongsi tiga mata dengan pasukan tangga kedua, Bali United yang tewas 5-2 di tangan Visakha dalam perlawanan yang diadakan pada sebelah petang.

Kongsi artikel ini