Belum ada perlawanan bola sepak dibenarkan oleh Kerajaan Malaysia, bererti saingan Liga Malaysia masih belum boleh diteruskan lagi.
Namun kebenaran untuk meneruskan latihan adalah sama seperti cahaya di hujung terowong. Langkah tersebut disambut baik oleh pelbagai pihak di dalam industri khususnya para pemain.
Berikut adalah kenyataan penuh dari Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berhubung pengumuman terkini oleh kerajaan:
PFA Malaysia (PFAM) amat menyambut baik dan berterima kasih atas pengumuman yang dibuat oleh pihak Kerajaan yang membenarkan latihan bolasepak dilakukan bermula pada 15 Jun 2020.
2Pengumuman ini merupakan tonik besar buat keseluruhan komuniti sukan bolasepak tanah air terutamanya bagi para pemain profesional.
PFAM juga amat berterima kasih di atas usaha berterusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) yang diketuai oleh YH Dato Haji Hamidin Haji Amin, bagi menyambung semula Liga Malaysia yang telah tertangguh ekoran penularan wabak global.
TERIMA KASIH KERAJAAN MALAYSIA!1. PFA Malaysia (PFAM) amat menyambut baik dan berterima kasih atas pengumuman yang…
Posted by PFA Malaysia on Monday, 8 June 2020
Bagi PFAM, kesinambungan Liga Malaysia adalah perlu bagi memastikan setiap pasukan boleh meneruskan saingan dan sekaligus dapat terus memitigasikan kerugian komersial yang telah ditanggung sepanjang penangguhan ini.
Hal yang sama turut dirasai oleh para pemain, yang rata-rata telah menerima potongan gaji sepertimana yang disarankan sehingga liga kembali bersambung, sebagai sebuah menifestasi kebersamaan demi survivaliti industri bolasepak tanah air.
Sudah semestinya, sebagai rakyat Malaysia, kita masih berada di dalam ‘kerisauan’ dan ‘ketakutan’ memandangkan kita masih belum memenangi ‘Perang Pandemik’ ini secara mutlak.
Namun begitu, PFAM percaya usaha keras yang digerakdayakan oleh FAM dan MFL dalam merangka Prosedur Operasi Standard (S.O.P), akan senantiasa memastikan kesemua pemegang taruh bolasepak, terutamanya para pemain dan pegawai pasukan, dalam keadaan yang selamat dan terhindar dari segala ancaman jangkitan.
Melihat kepada contoh liga negara luar seperti di Jerman, England, Itali dan Sepanyol – yang mana jumlah kes Covid-19 jauh lebih tinggi daripada Malaysia – yang telah memulakan semula perjalanan liga mereka, PFAM amat percaya, menerusi perkongsian kepakaran secara bersama oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), perjalanan Liga Malaysia dapat dilaksanakan dengan selamat.
Mewakili suara pemain, pemain kini bersedia untuk kembali menjalani latihan penuh bersama pasukan dengan mematuhi segala S.O.P yang ditetapkan dan seterusnya meneruskan obligasi kontrak seperti yang dipersetujui.
Bersama kenyataan ini juga, PFAM turut berharap agar persediaan pasukan Kebangsaan bagi menempuh pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dapat dibuat serapi mampu demi memenuhi impian seluruh rakyat Malaysia.
Benar, perang masih belum berakhir, tetapi kehidupan tidak boleh berhenti. Kami bersedia dengan Kelaziman Baharu ini.