Pestabola Merdeka Medan Terbaik Bantu Harimau Malaya Bina Momentum Menuju Piala Asia 2023

Penganjuran semula Kejohanan Pestabola Merdeka boleh menjadi medan terbaik untuk pasukan negara membina momentun menuju Piala Asia 2023.

Sejak kali terakhir dianjurkan pada 2013, kejohanan bola sepak yang pernah menjadi antara kejohanan antarabangsa berprestij di benua Asia itu tidak pernah lagi dianjurkan.

Kejohanan bola sepak jemputan yang tertua di Asia yang mula dianjurkan sejak merdeka pada tahun 1957 ini sering dianggap sebagai membuang masa, tiada faedah kerana tidak memberikan mata ranking, dan menghabiskan duit kerana pengajuranya sahaja.

Bagaimana pun kejohanan tersebut sebenarnya boleh menjadi pemangkin kepada pasukan negara sekiranya dianjurkan secara terancang – khususnya sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bijak memanfaatkan kalendar perlawanan antarabangsa untuk menganjurkannya.

Pestabola Merdeka bakal kembali?

Selepas 41 edisi Pestabola Merdeka diadakan, timbul idea untuk FAM menganjurkannya kembali pada tahun ini.

Idea ini adalah sebahagian daripada cadangan untuk membantu pasukan kebangsaan kendalian Kim Pan-gon untuk bertanding secara kompetitif bagi menghadapi kejohanan yang lebih besar seperti Piala Asia 2023.

Jika dinilai kalendar perlawanan dan kejohanan sedia ada, skuad kendalian Kim Pan-gon hanya akan sempat mengambil bahagian di Kejohanan Piala AFF 2022 yang akan berlangsung pada Disember-Januari akan datang.

Selain daripada kejohanan tersebut, tiada kejohanan lain yang mampu menguji barisan pemain Harimau Malaya sebelum kejohanan Piala Asia 2023.

Memandangkan dua stadium terbesar di dalam negara seperti Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Shah Alam tidak boleh digunakan, maka penganjuran turut boleh diadakan di negeri lain seperti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, atau pun Sultan Stadium Ibrahim yang memiliki kualiti padang terbaik di negara ini.

Seperti kebiasaan Pestabola Merdeka adalah ibarat kejohanan mini yang melibatkan 4 sehingga lapan pasukan maksimum – dibahagikan kepada dua kumpulan.

Terpulang kepada FAM, Pestabola Merdeka juga boleh diadakan dengan jumlah pasukan minima melibatkan empat negara.

Pasukan negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam turut boleh dipertimbangkan untuk dijemput ke kejohanan kali ini, dan ia pasti idea yang menarik bagi mereka kerana turut layak ke Piala Asia.

FAM turut boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan lawan lebih kompetitif dari Eropah. Ianya sukar, tetapi tidak mustahil kerana lawan mungkin turut berminat menentang pasukan negara setelah berjaya melayakkan diri ke Piala Asia.

Berdasarkan kalendar bola sepak antarabangsa untuk 2022, tarikh penganjuran paling sesuai adalah pada 19-27 September akan datang.

Mengapa Pestabola Merdeka boleh jadi kejohanan penting?

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed ketika bercakap kepada Harian Metro telah mengesahkan pihaknya sememangnya memiliki merancang untuk mengadakan Pestabola Merdeka tahun ini.

Sebenarnya perancangan untuk menganjurkan semula Pestabola Merdeka sudah lama difikirkan,” katanya kepada Harian Metro.

“Tetapi ia terhenti seketika kerana pandemik Covid-19 selama dua tahun.

“Tapi selepas ini ia akan dibincangkan semula bersama Presiden sebab kita mahu momentum skuad negara yang layak ke Piala Asia dapat diteruskan.

“Maka di situ memang ada keperluan untuk mengembalikan semula penganjuran Pestabola Merdeka.

“Perlawanan persahabatan sahaja tidak mencukupi kerana aura pertandingan adalah lebih baik buat skuad negara sebelum beraksi di Piala Asia.”

Kongsi artikel ini