Pesanan Safee Sali Kepada Luqman Hakim – “Jangan Rasa Diri Paling Hebat Di Malaysia”

Safee Sali dan Luqman Hakim. Kedua-duanya memiliki persamaan, dianggap sebagai penyerang terbaik pasukan kebangsaan pada generasi masing-masing.

Jika dahulu Safee Sali tampil sebagai pemain pertama negara yang beraksi di Indonesia, Luqman pula membuka langkah yang lebih luas dalam kariernya – juga pada usia yang lebih muda.

Penyerang sensasi skuad B-19 negara itu bakal menyertai KV Kortrijk di Jupiler Pro League, Belgium selepas menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab tersebut.

Safee bangga pencapaian Luqman

Pada usia 36 tahun kini, Safee Sali dianggap sebagai pemain yang cukup berpengalaman. Kini beraksi bersama PJ City FC, sepertimana pemain-pemain lain, hasrat Safee untuk menyarung jersi pasukan negara tidak pernah luntur.

Mungkin kerana itulah Safee Sali mungkin adalah pemain paling memahami situasi yang dihadapi Luqman pada ketika ini.

Luqman boleh dianggap membuat permulaan yang bagus setelah menyerlah bersama pasukan B-19 Tahun negara kendalian Brad Maloney di Kejohanan AFF sebelum ini.

Kerana itu, Safee turut tidak menolak rasa kagum beliau terhadap pemain berusia 19 tahun kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

“Saya rasa berbangga dengan pencapaian Luqman, apabila seorang pemain muda [dari] Malaysia yang berjaya melepasi market [pasaran] kita beraksi di sana [Eropah],” ujar Safee kepada Buletin Utama TV3 baru-baru ini.

Namun demikian perjalanan karier Luqman masih lagi jauh dan banyak aspek perlu diperhatikan dengan teliti agar bakat yang ada tidak dipersiakan.

Tiga perkara utama

Luqman dijangka akan terbang ke Eropah seawal minggu ini untuk memulakan pengembaraan baharu dalam kariernya.

Seraya itu, Safee Sali turut mempunyai bekalan pesanan untuk dibawa pemain itu ke Eropah.

Bekas penyerang Selangor dan JDT itu juga menekankan tiga perkara utama yang perlu Luqman serasikan diri dengan cepat iaitu bahasa, makanan, dan nilai profesionalisme yang tinggi.

Ini bagi memudahkan Luqman mendapat rentak secepat mungkin bersama kelab baharunya

“Bila dah pergi sana jangan merasakan dialah [pemain] terhebat di Malaysia. Sebenarnya proses pembelajaran itu sentiasa berjalan. Jangan cepat berpuas hati dan bangga. Kena sentiasa belajar makna profesionalisme itu bagaimana,” tambah Safee lagi.

Kongsi artikel ini