Pernah Dibelasah Skuad Teong Kim, Tajikistan Peraga Set-Piece Menarik Ini Di Piala Dunia B-17

Hampir dua tahun lalu, skuad muda Tajikistan ini pernah dibelasah pasukan muda negara kendalian Lim Teong Kim dengan jaringan 6-2.

Kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan pembukaan Kumpulan A Kejohanan AFC B-16.

Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin menghasilkan empat gol dalam perlawanan tersebut. Dua lagi gol pasukan negara dijaringkan oleh Najmudin Akmal dan Alif Mutalib.

Kita semua tahu apa berlaku selepas itu. Tajikistan mengejutkan ramai apabila mara ke perlawanan akhir kejohanan sebelum tewas 1-0 kepada Jepun.

Kejayaan mara sebagai empat pasukan terbaik, melayakkan Tajikistan beraksi di Piala Dunia B-17 yang berlangsung di Brazil pada tahun lalu.

Dan pasukan dari negara Asia Tengah ini turut mencuri tumpuan ketika perlawanan pembukaan Piala Dunia B-17 menentang Cameroon melalui rutin sepakan percuma mereka.

Tiga pemain berdiri mengelilingi bola sebelum sepakan diambil, dan semua pemain ini mempunyai peranan masing-masing demi memastikan gerakan ini menjadi.

Seorang pemain melangkaui bola, dan seorang lagi melakukan larian ke arah byline dalam gerakan permulaan yang mengelirukan pertahanan lawan.

Gerakan tersebut menghasilkan ruang untuk melakukan hantaran lintang.

Malangnya Tajikistan gagal menghasilkan gol pada ketika itu, walaupun mengakhiri perlawanan dengan kemenangan 1-0.

Video gerakan ini kembali menjadi tular di media sosial dan ramai yang kagum dengan keupayaan pasukan muda Tajikistan.

Ia sentiasa menyeronokkan menonton gerakan set-pieces sebegini, asalkan ianya bukan ketika menentang pasukan anda.

Tajikistan bagaimanapun gagal mara ke pusingan seterusnya selepas mengakhiri saingan Kumpulan E di tangga ketiga di belakang Argentina dan Sepanyol.

Namun sudah pasti penampilan di tahap tertinggi sebegini telah menjadi pengalaman berguna buat mereka.

 

Kongsi artikel ini