TMJ Pernah Dedah Permintaan Gaji LTK Setaraf Pengurus Bundesliga

Di dalam sesi bertemu penyokong pada malam tadi, pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) turut memberikan pendapat beliau mengenai bekas Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang menyertai Perak FC selaku Ketua Jurulatih pasukan itu untuk musim 2023.

Berdasarkan beberapa laporan sebelum ini, Lim Teong Kim dikhabarkan mengikat kontrak selama dua tahun, dan Perak FC turut mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontrak jurulatih itu selama setahun lagi daripada kontrak asal.

Bagi TMJ, beliau menyambut baik ketibaan jurulatih berusia 59 tahun yang selama ini berpengkalan di Jerman, selepas kontrak beliau bersama NFDP tamat pada 2019.

Pendapat TMJ mengenai LTK

TMJ turut mempunyai pendapat beliau tersendiri mengenai Teong Kim yang memutuskan untuk kembali ke Liga Malaysia, selepas jurlatih itu pernah dianggap mustahil untuk digaji mana-mana kelab kerana permintaan gaji yang mahal, termasuk oleh JDT.

“Samada Perak memiliki duit yang banyak atau dia terima gaji yang lebih kecil kerana tiada kerja. Saya sangat berterus terang.”

“Bagus, itu adalah perkara yang positif (kehadiran Lim Teong Kim ke Malaysia).

“Di Malaysia juga dia dianggap jurulatih terhandal dalam negara dan saya yakin beliau akan buat yang terbaik untuk Perak dan juga jurulatih-jurulatih lain yang akan berhijrah ke sana dan sini. Dan sudah ada beberapa pasukan yang sudah menandatangani (kontrak).

“Itu akan memperbaiki tahap kompetitif liga kita. Dan sudah tentu apabila tahap kompetitif meningkat ia akan meningkatkan tahap liga dan setiap pemain yang ada dalam negara,” jelas TMJ di bilik sidang media, Stadium Sultan Ibrahim.

TMJ pernah dedah demand LTK

Apabila TMJ berpendapat Teong Kim berkemungkinan menurunkan permintaan gaji yang lebih kecil, berapakah jumlah sebenar yang dipinta oleh jurulatih itu untuk bekerja di Malaysia sebelum ini?

Pada Januari lalu dalam satu tembual bersama salah sebuah penyiar di Malaysia, TMJ pernah mendedahkan Teong Kim pernah meminta Є70,000 – Є80,000 (RM327,000-RM374,000) sebulan. Jumlah ini lebih tinggi berbanding apa yang beliau terima ketika bersama NFDP.

Bagaimanapun jumlah tersebut bukan sebagai Ketua Jurulatih tetapi lebih kepada membantu JDT di dalam aspek pembangunan.

“Masa dia nak kerja dengan saya, dia minta 70-80 ribu euro sebulan dan nak bawa 2, 3 orang pembantu. Takkan saya nak bayar sampai begitu. Saya punya pemain dan ketua jurulatih pun tak sebanyak itu,” kata TMJ pada ketika itu.

“Tetapi kalau betul dia nak buat pembangunan, saya dengan bola sepak Malaysia, suruhlah dia buat dengan gaji RM20-RM30 ribu sebulan,” kata Tunku Ismail dalam temubual tersebut.

Kita semua tahu jalan cerita seterusnya, termasuk penafian oleh Teong Kim dan penjelasan TMJ mengenai bukti daripada unit akaun JDT.

Lebih tinggi daripada jurulatih Bundesliga

Berdasarkan pendedahan TMJ, gaji sebanyak Є70,000 – Є80,000 sebulan oleh Teong Kim (seperti didedahkan TMJ) – dengan purata Є17,500 – Є20,000 seminggu pada ketika itu tidak dinafikan adalah lebih tinggi daripada sebahagian pendapatan Ketua Jurulatih/ Pengurus kelab-kelab Bundesliga.

Berdasarkan perkongsian Totalsportal, seperti di bawah, nilai tersebut lebih tinggi berbanding bayaran yang diterima oleh sebahagian ketua jurulatih/pengurus di Bundesliga, Jerman.

Jurulatih Arminia Bielefeid, Frank Kramer misalnya dibayar Є13,000 seminggu. Manakala Tayfun Korkut di Hertha BSC pula hanya menerima Є16,000 seminggu. Bayaran sama juga turut diterima pengendali Vfl Bochum, Thomas Reis.

Tayfun Korkut adalah bekas pengendali skuad U-19 Vfb Stuttgart sekitar 2011-12 yang mengandungi pemain seperti Joshua Kimmich dan Timo Werner.

Malah ada di kalangan pengendali kelab di Bundesliga Jerman seperti Stefan Leiti yang melatih Greuther Furth menerima bayaran serendah Є10,000 seminggu sahaja.

Hertha BSC, Arminia Belefeld, atau Vfl Bochum mungkin tidak segah Bayern Munich daripada segi kejuaraan di Bundesliga Jerman.

Tetapi ianya sukar untuk membayangkan seorang jurulatih di peringkat pembangunan di Jerman menerima bayaran yang lebih tinggi daripada segelintir Ketua Jurulatih kelab utama di sana.

Berapa Perak FC bayar?

Berdasarkan kenyataan Pengerusi Perak FC Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi baru-baru ini, sukar membayangkan Perak FC berbelanja mewah semata-mata untuk mendapatkan kepakaran Teong Kim.

Abdul Azim juga mendedahkan perbelanjaan Perak FC adalah lebih rendah berbanding JDT.

“Kita tak kan ada apa-apa bantahan, kita ada bajetlah, kalau dia minta nak bawa Ronaldo, tidak bolehlah, itu di luar bajet,” ujar beliau baru-baru ini.

“Bajet kita bukan besar pun, semua ingat kita lebih lumayan dari JDT, sebenarnya bukan sehebat itu,” katanya Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabid semalam.

Selain itu beliau juga menegaskan Perak FC enggan terpalit dengan masalah tunggakan gaji kerana ia turut akan memberi kesan kepada XOX Berhad, syarikat yang memiliki Perak FC dan turut disenaraikan di dalam Bursa Malaysia.

Berdasarkan kenyataan Pengerusi Perak FC itu, besar kemungkinan Teong Kim merendahkan permintaan gaji beliau demi membantu bola sepak Malaysia.

Kongsi artikel ini